Keputusan benarkan individu divaksin rentas negeri tepat, kata menteri

Keputusan benarkan individu divaksin rentas negeri tepat, kata menteri

Penerima dua dos vaksin berisiko rendah dijangkiti Covid-19 jika terus patuh SOP, kata Menteri Kesihatan.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata data menunjukkan individu yang menerima dos kedua vaksin dilindungi daripada wabak itu.
PUTRAJAYA:
Cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membenarkan individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin di bawah Program Iminusasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah tepat bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar untuk mendapatkannya.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata memang ada data menunjukkan bahawa
selepas dua atau tiga minggu menerima dos kedua vaksin Covid-19, individu terbabit dilindungi daripada dijangkiti wabak itu.

“Sebenarnya kita sudah ada program gelembung pelancongan untuk membolehkan individu merentas negeri, malah kebanyakan penerima vaksin Covid-19 fasa satu adalah petugas barisan hadapan dan mereka memang boleh pergi ke mana sahaja atas urusan kerja.

“Justeru, KMM bersedia meneliti cadangan dikemukakan Perdana Menteri, supaya individu menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 diberikan kelonggaran untuk merentas negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku berkaitan Covid-19 di Hospita Pengajar Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Pada masa sama, Adham berkata KKM kini sedang meneliti dapatan terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) mengenai perkara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Adham mengesahkan 99.7% atau 498,468 daripada individu yang tersenarai sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah PICK sudah menerima suntikan dos pertama setakat semalam, dengan majoritinya adalah petugas barisan hadapan.

Katanya, ketika ini Fasa 1 program itu hanya berbaki 1,532 suntikan untuk mencapai sasaran memvaksin sekurang-kurangnya 500,000 petugas barisan hadapan menjelang akhir bulan ini.

“Pemberian dos kedua pula sudah mencecah 241,758 atau meliputi 48.3% daripada sasaran memastikan semua 500,000 petugas barisan hadapan menerima dos lengkap.

“Justeru, KKM berkeyakinan Fasa Pertama PICK yang sepatutnya berakhir pada hujung April, akan dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan atau lebih awal,” katanya.

Dalam pada itu, Adham mengesahkan sehingga kini 7,625,478 individu atau 31.4% daripada lebih 24 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas sudah mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

PICK bermula pada 24 Februari lalu apabila Muhyiddin menjadi individu pertama di Malaysia menerima vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, disusuli Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebagai orang pertama di negara ini menerima vaksin Sinovac pada 18 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, KKM melakukan pemantauan kes positif dalam kalangan petugas barisan hadapan untuk mengukur keberkesanan Fasa 1 program berkenaan dan impak pemberian vaksin kepada mereka.

Jelasnya, keberkesanan optimum pemberian vaksin itu akan akan diperoleh selepas 14 hari daripada tarikh akhir semua 500,000 petugas barisan hadapan menerima dos lengkap vaksin.
“Kita ada masa untuk mengenal pasti keberkesanan program itu. Namun, setakat 1 April lalu, bilangan kes positif dalam kalangan petugas barisan hadapan KKM menunjukkan trend penurunan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.