KBS bentang cadangan asing proses Undi-18, daftar automatik di Kabinet

KBS bentang cadangan asing proses Undi-18, daftar automatik di Kabinet

Menterinya, Reezal Merican Naina Merican berharap SPR dapat melaksanakan usaha itu dengan segala formula dan ruang yang ada kerana semua anggota Kabinet menyokong Undi-18.

Reezal Merican Naina Merican berkata, pindaan Kementerian Belia dan Sukan itu merangkumi banyak perkara mengenai Undi18 dan beliau berharap SPR boleh melaksanakan mana yang mudah terlebih dulu.
PUTRAJAYA:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengemukakan cadangan kepada Kabinet hari ini untuk mengasingkan proses hak mengundi individu berumur 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi.

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap dapat melaksanakan usaha itu dengan segala formula dan ruang yang ada, memandangkan semua anggota Kabinet hari ini menyokong Undi-18.

“Dalam pindaan itu merangkumi banyak perkara, jadi saya fikir kita laksanakan dahulu ‘the low hanging fruit’ (mana yang mudah),” katanya yang akan mengutus surat kepada SPR dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan berhubung cadangan itu.

Bercakap selepas Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC), Reezal Merican berkata, Takiyuddin juga akan membentangkan perincian mengenai isu itu minggu depan.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 Sept 2022, tetapi ia dipertikaikan banyak pihak yang menganggap penangguhan itu tidak munasabah.

Pada 16 Jul 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon layak bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang turut hadir dalam majlis itu berkata, beliau menyokong hujah KBS dalam mesyuarat Kabinet hari ini mengenai pengasingan proses itu kerana dimaklumkan sistem pendaftaran automatik belum siap.

“Kalau tidak boleh dilaksanakan pendaftaran automatik sebab masalah sistem, kenapa perlu ditangguhkan Undi18. Undi-18 boleh diteruskan macam biasa. Itulah pandangan kami dan kami akan membuat keputusan di Kabinet minggu hadapan,” kata Khairy.

Sementara itu, Reezal berkata, KBS menerima hampir 8,000 permohonan menyertai pasukan sukarelawan MyVAC sejak dilancarkan 26 Feb lalu dan ia melepasi sasaran awal 6,000 sukarelawan yang akan ditugaskan di lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Sukarelawan MyVAC diibaratkan barisan hadapan kedua yang akan menyokong pasukan perubatan di PPV dengan tugas membantu proses pendaftaran dan pengesahan penerima vaksin, membantu pengurusan komunikasi dengan penerima vaksin untuk mengelakkan vaksin ‘scammer’, selain memberi sokongan psikologi.”

MyVAC disokong Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia melibatkan belia, mahasiswa institut pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.