
Reezal berkata, walaupun serius dan tidak boleh diabaikan, isu itu perlu ditangani dengan tenang bagi mengelakkan daripada menyemarakkan ketegangan kaum atau politik.
“Saya tiada kuasa menyiasat, namun sama ada ia dilakukan dengan sengaja atau ia suatu kesilapan, sukar untuk dijelaskan. Undang-undang mesti dihormati, tidak kira siapa yang terlibat,” katanya.
Sebuah video berdurasi 30 saat tular di media sosial menunjukkan Reezal meminta penjelasan daripada kakitangan kedai perkakasan itu berhubung insiden tersebut. Beliau kemudiannya membuat laporan polis mengenai perkara itu semalam.
Reezal juga berkata, pihak polis mesti diberi peluang untuk menyiasat kes itu dengan betul dan adil. Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru yang boleh memburukkan lagi sentimen masyarakat.
Dalam pada itu, Reezal menyeru rakyat Malaysia untuk mengelakkan stereotaip kaum dan kepartian politik apabila membincangkan isu-isu sensitif.
“Kita mesti fikir secara progresif dan yang paling utama, secara adil – bukan dari perspektif Melayu, India atau Cina,” katanya.
Terdahulu, pihak polis menahan pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun berhubung insiden tersebut.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Alwi Zainal Abidin berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya esok untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, 16 laporan telah diterima di seluruh negara berhubung insiden itu, termasuk 12 laporan dari Pulau Pinang.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengumumkan rancangannya untuk melawat dan mengajar pemilik kedai perkakasan itu cara yang betul untuk mempamerkan Jalur Gemilang.
Susulan itu, sayap parti itu merancang untuk menggerakkan orang ramai untuk mengadakan protes di kedai itu yang terletak di Kepala Batas esok.
Bagaimanapun, Alwi menasihatkan Pemuda Umno agar membatalkan rancangan tersebut, dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa telah pun mengambil tindakan.