Hanya tindakan advokasi, tiada saman untuk ekzos bising, kata menteri

Hanya tindakan advokasi, tiada saman untuk ekzos bising, kata menteri

Mereka yang menerima Notis 114 perlu tampil memberi keterangan di mana-mana cawangan JPJ untuk membantu siasatan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan saman hingga RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan kepada pemilik motosikal yang menggunakan ekzos bising. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Buat masa ini, kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Wee yang juga presiden MCA berkata, perkara itu dimaklumkan beliau kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zailani Hashim agar pesalah tidak disaman.

“Saya telah meneliti ucapan Presiden (Umno, Ahmad Zahid Hamidi), termasuk pandangan beliau tentang penguatkuasaan terhadap ekzos bising motosikal.

“Saya ingin maklumkan MOT (Kementerian Pengangkutan) membuat keputusan, pada peringkat ini, lebih elok tumpukan pendekatan advokasi, iaitu dikeluarkan Notis 114 daripada tindakan saman,” katanya selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno 2020.

Notis 114 ialah notis panggilan temu siasat dan mereka yang menerima notis itu perlu tampil memberikan keterangan di mana-mana cawangan JPJ untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Wee berkata, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador sudah menemui ketua pengarah JPJ bagi menyelaraskan tindakan advokasi tersebut, memandangkan langkah berkenaan turut melibatkan polis trafik.

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan saman hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan kepada pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising.

Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.

Setakat 5 Mac lalu, sebanyak 10,166 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Khas Ubah suai Ekzos (bising) di seluruh negara bermula 1 Mac, menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Isu itu disentuh Zahid dalam ucapan dasarnya pada PAU2020 pagi tadi, dengan berkata, beliau dimaklumkan tentang motosikal disita kerana ekzos yang diubah suai.

“Janganlah sampai disita. Bagaimana mereka ingin meneruskan survival kehidupan, sedangkan itulah satu-satunya kenderaan yang mereka ada untuk mencari rezeki.

“Apakah kita sudah buta hati dan kejam, membiarkan kehidupan rakyat terus-menerus terbeban? Rakyat kecewa dan terus merana,” kata Zahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.