
Pengerusi MPBPP Shabudin Yahaya berkata pihaknya bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang untuk menawarkan skim latihan itu, yang pertama kali diperkenal dan bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada bumiputera di negeri tersebut.
“Kalau ikut perbincangan MPBPP dengan pihak UiTM Pulau Pinang, kemungkinan skim latihan itu akan bermula dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi dengan pengambilan pertama membabitkan seramai 60 orang bagi mengikuti kursus selama enam bulan hingga setahun di Permatang Pauh (UiTM Pulau Pinang).
“Skim latihan ini membolehkan mereka meneroka kemahiran dalam bidang pengurusan rumah tangga dan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kerana kita mampu menyediakan pengurus rumah tangga bagi mengantikan pembantu rumah warga asing yang memerlukan kos pengambilan lebih mahal” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu ditemui selepas merasmikan sesi dialog usahawan bumiputera Pulau Pinang bersama MPBPP, yang dihadiri kira-kira 300 orang dan program itu bertujuan mengukuhkan jaringan perhubungan antara agensi kerajaan dengan usahawan terbabit.
Shabudin, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata skim itu mampu menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pengurusan rumah tangga dengan gaji bersesuaian iaitu mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000 sebulan termasuk mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
“Skim ini melatih bumiputera yang berminat dalam menyediakan perkhidmatan rumah tangga sebagai orang yang menjaga urusan pembersihan dalaman rumah serta penjagaan kanak-kanak dan mereka ini bekerja di bawah syarikat yang ditubuh oleh MPBPP bagi memastikan kebajikan mereka terjaga,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan memastikan pengurus rumah tangga mendapat pengiktirafan kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia.
Shabudin berkata usaha MPBPP memperkenal skim latihan itu mampu meningkatkan ‘status quo’ bidang pembantu rumah yang sering dipandang rendah oleh sesetengah pihak selain menyelesaikan permasalahan golongan suami isteri bekerja yang berdepan isu penjagaan anak dan sebagainya.
“Sebenarnya MPBPP mahu mereka tidak dianggap sebagai pembantu rumah seperti yang semua orang faham sekarang sebaliknya mereka adalah profesional yang dilatih dan tahu kerja yang mereka patut buat, dengan adanya tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti ini, kami boleh memasarkan tenaga kerja sebegini ke negeri lain juga,” katanya.