Naik umur persaraan cetus lambakan penganggur muda, kata majlis belia

Naik umur persaraan cetus lambakan penganggur muda, kata majlis belia

Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata naikkan umur persaraan boleh kecilkan peluang pekerjaan golongan belia.

universiti
Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata menaikkan umur persaraan beri implikasi kepada sosioekonomi yang beri kesan negatif kepada prospek pekerjaan dan pembangunan belia. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Menaikkan umur persaraan kepada 65 boleh mengurangkan kadar penggantian pekerja dalam pasaran buruh sekali gus menyebabkan lambakan penganggur muda, kata Majlis Belia Malaysia (MBM).

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata cadangan itu jika dipersetujui kerajaan akan beri implikasi kepada sosioekonomi yang beri kesan negatif kepada prospek pekerjaan dan pembangunan belia negara.

Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

“Kenaikan umur persaraan boleh mengakibatkan lambakan penganggur muda kerana ia mengurangkan mobiliti dan kenaikan pangkat, menyebabkan tiadanya kekosongan jawatan.

“Peningkatan had umur persaraan juga secara langsung mengurangkan kadar penggantian pekerja dalam pasaran buruh, sekali gus mengecilkan peluang pekerjaan untuk golongan belia,” katanya kepada FMT.

Beliau turut memberi contoh keputusan kerajaan menaikkan umur persaraan daripada 55 ke 60 tahun pada 2013 yang menyebabkan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu kepada graduan dan pencari kerja muda.

“Dalam konteks semasa, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun, dan ramai daripada mereka masih bergelut mendapatkan pekerjaan tetap,” katanya.

Pada 20 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan kaji melanjutkan umur persaraan kepada 65, sambil menyatakan ramai kekal aktif walaupun dalam lingkungan 60-an.

Beliau yang memegang portfolio undang-undang dan reformasi institusi berkata demikian atas kapasiti peribadi berdasarkan pemerhatian dan trend sosial semasa.

Izzat berkata, tidak semua warga emas boleh bekerja secara efektif kerana pada umur lingkungan 60-an mereka berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan dan keupayaan fizikal.

Katanya, mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2021, satu daripada tiga individu berumur lebih 60 tahun menghadapi kekangan dari segi keupayaan fizikal, selain risiko penyakit kronik seperti diabetes dan jantung.

Menurutnya, cadangan Azalina itu juga dilihat kurang sensitif terhadap realiti jurang antara generasi dalam pasaran kerja.

“Ini bukan isu memilih antara yang muda atau yang tua, sebaliknya adalah soal memastikan wujudnya dasar yang adil untuk menjamin keterjaminan ekonomi semua pihak terutama generasi muda yang sedang membina kehidupan dan kerjaya.

“Meningkatkan umur persaraan bukan sekadar soal kemampuan bekerja, tetapi juga soal keadilan ekonomi dan hak generasi muda untuk memperoleh peluang yang saksama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.