Komitmen Shell tambah pelaburan petunjuk keyakinan syarikat asing

Komitmen Shell tambah pelaburan petunjuk keyakinan syarikat asing

Penganalisis ekonomi percaya ia didorong oleh pemulihan ekonomi negara dan kedudukan negara dalam daya saing global.

kl skyline
Data ekonomi mutakhir menjadikan Malaysia pilihan munasabah bagi pelaburan asing, menurut ahli ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ikrar Shell untuk melabur lebih RM9 bilion di Malaysia dalam tahun mendatang petunjuk keyakinan syarikat asing pada ekonomi negara.

Penganalisis ekonomi percaya angka sebesar itu didorong oleh pemulihan ekonomi negara, di samping pengalaman gergasi minyak dunia itu melabur di Malaysia sejak sekian lama.

“Maknanya Shell ada keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang kukuh dan pada masa sama boleh beri kebaikan atau beri pulangan kepada syarikat,” kata Ida Yassin daripada Putra Business School kepada FMT.

Ida menyenaraikan berapa fakta yang menjadikan Malaysia pilihan munasabah bagi pelabur asing, menarik perhatian kepada pemulihan ekonomi sejak pandemik Covid-19 beransur.

“Berdasarkan pertumbuhan KDNK menunjukkan angka baik 4-5% setahun. Kita lihat pengangguran semakin kurang pada kadar mungkin 3%, guna tenaga kita penuh dah (full employment). Jadi angka-angka ini menunjukkan ekonomi Malaysia memang pun sedang pulih.”

Penganalisis turut menyorot lonjakan kedudukan Malaysia dalam daya saing global, naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dunia dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025.

Menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pencapaian ini hasil langsung pelaksanaan reformasi di bawah pentadbirannya, namun bagi penganalisis, ‘lonjakan terbesar yang jarang berlaku’ ini hasil dasar fiskal yang berhati-hati, subsidi bersasar dan keyakinan pelabur asing.

“Penyelarasan subsidi dilihat mula memberi kesan positif kepada struktur ekonomi negara,” kata Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

“Kejayaan ini menunjukkan usaha kerajaan dalam menambah baik tatakelola fiskal sedang membuahkan hasil.”

Anwar mengumumkan komitmen Shell untuk menambah pelaburan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, susulan pertemuan dengan CEO Wael Sawan semalam/pada 17 Jun.

Katanya, pelaburan itu manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi negara, dan akan mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Shell memiliki kira-kira 950 stesen minyak di Malaysia, serta menjual pelincir industri serta mengeluarkan minyak mentah dan gas asli di perairan Sabah dan Sarawak. Shell juga rakan usaha sama dalam projek gas asli cecair.

Barjoyai menjangkakan rakyat akan melihat kesan peningkatan ekonomi ketara ini melalui peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.

Beliau juga percaya kedudukan baharu Malaysia dalam ranking global akan merangsang pasaran kerja dan ekonomi domestik.

“Gaji sektor swasta dijangka meningkat seiring dengan prestasi ekonomi dan keyakinan pasaran yang bertambah baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ida berharap peluang pekerjaan yang dibawa pelaburan Shell ini akan memenuhi keperluan golongan muda, kebanyakannya berijazah dan mahukan pekerjaan sepadan dengan pengetahuan dan gaji setimpal.

“Kerana sekarang kerajaan melihat kepada gaji secara umumnya, secara purata harus meningkat bersamaan dengan produktiviti juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.