Peguam lapor polis terhadap Lokman Adam, ADUN berhubung dakwaan berkait 1MDB, Goldman Sachs

Peguam lapor polis terhadap Lokman Adam, ADUN berhubung dakwaan berkait 1MDB, Goldman Sachs

Rosli Dahlan berkata tidak benar beliau dilantik untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam kes 1MDB, dan yuran guaman yang diterimanya jauh lebih rendah.

Rosli Dahlan berkata dakwaan beliau dibayar yuran guaman sebanyak RM1.7 bilion hasil dari penyelesaian kes Goldman Sachs hampir RM17 bilion sebagai fitnah jahat. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Peguam Rosli Dahlan membuat laporan polis terhadap bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam, dan ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin berhubung dakwaan terhadapnya berkait kes 1MDB dan penyelesaian Goldman Sachs.

Dalam laporan yang dilihat FMT, Rosli berkata adalah tidak benar beliau dilantik untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam kes-kes 1MDB, sedangkan beliau dilantik oleh dan bertindak bagi pihak 1MDB.

Fakta hakikinya adalah Jabatan Peguam Negara sentiasa bertindak bagi pihak kerajaan, katanya.

Rosli juga berkata dakwaan beliau dibayar yuran guaman sebanyak RM1.7 bilion hasil dari penyelesaian kes Goldman Sachs hampir RM17 bilion sebagai fitnah jahat.

Yuran guaman yang beliau terima jauh lebih rendah dari jumlah tersebut, katanya.

Rosli juga menafikan beliau dapat yuran guaman sebanyak RM283 juta bagi penyelesaian kes Ambank berkait 1MDB, sedangkan khidmat guamannya berdasarkan kadar masa dan hanya akan dibayar apabila 1MDB menerima wang penyelesaian.

Beliau berkata, Lokman membuat dakwaan itu dalam dua video yang dimuat naik di Facebook, yang menurt beliau salah satunya mendakwa beliau akan menjadi peguam negara dan akan menutup kes melibatkan “geng” Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Rosli juga menafikan dakwaan Sallehudin bahawa beliau terbabit dalam membayar RM500 juta kepada PPBM sebagai komisen, kerana yuran guaman yang beliau terima terlalu sedikit dan tidak mencukupi untuk memberikan jumlah itu.

Rosli berkata, dakwaan itu untuk mencemari maruahnya, nama baik perdana menteri, dan PPBM.

Beliau juga menyangkal dakwaan pentadbiran lepas menuntut USD9.6 bilion daripada Goldman Sachs untuk penyelesaian, mengatakan ia hanya menuntut sekitar USD4 bilion.

Jumlah penyelesaian yang dicapai pentadbiran sekarang ialah USD3.9 bilion, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.