USD700 juta wang 1MDB dipindah ke entiti berkait Jho Low, mahkamah diberitahu

USD700 juta wang 1MDB dipindah ke entiti berkait Jho Low, mahkamah diberitahu

Bekas CEO Deutsche Bank kata pihaknya diberitahu oleh pengurusan 1MDB bahawa USD700 juta itu untuk 'PetroSaudi International Ltd'.

Najib Razak dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkait RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bekas CEO Deutsche Bank beritahu perbicaraan Najib Razak berkait 1MDB bahawa bank itu bertindak atas arahan 1MDB apabila memindahkan USD700 juta kepada entiti yang kemudiannya ditunjukkan dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Raymond Yeoh berkata pengarah eksekutif 1MDB ketika itu, Tang Keng Chee, memaklumkan kepadanya dan Jacqueline Ho, seorang lagi pegawai kanan bank, bahawa USD700 juta itu adalah untuk PetroSaudi International Ltd (PSI), walaupun kelulusan yang dikeluarkan oleh Bank Negara (BNM) menyatakan sebaliknya.

“Saya mendapatkan penjelasan daripada BNM dan bercakap dengan pegawai jabatan pentadbiran pertukaran asing, Wan Hanisah (Wan Ibrahim), mengenai arahan pengiriman wang itu.

“Dia kata BNM tidak mahu ulas kerana ia keputusan perniagaan 1MDB,” Yeoh beritahu Mahkamah Tinggi.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa 1MDB menjalin usaha sama dengan PSI pada 2009 dan diwajibkan untuk melabur USD1 bilion ke dalam projek itu.

Jumlah itu sepatutnya didepositkan ke dalam akaun yang dipegang bersama oleh 1MDB dan PSI, tetapi hanya USD300 juta dipindahkan ke dalamnya.

Yeoh berkata berikutan perbualannya dengan Wan Hanisah, Deutsche Bank melaksanakan pemindahan USD700 juta ke akaun yang dipegang oleh Good Star di RBS Coutts.

Kemudian, Good Star didedah dikawal oleh Low.

Yeoh juga beritahu mahkamah bahawa beliau tahu Ho beri keterangan dalam perbicaraan sebelum ini tetapi tidak mengetahui kandungan keterangannya.

Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 22 April.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkait dana berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.