Jangan politikkan keputusan kes Najib, Altimet seru ahli politik, pempengaruh

Jangan politikkan keputusan kes Najib, Altimet seru ahli politik, pempengaruh

Menggunakan keputusan mahkamah sebagai modal politik adalah tidak bertanggungjawab dan berbahaya, kata Adun Lembah Jaya.

Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad
Adun Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, kata mahkamah mesti diberi ruang untuk menjalankan tugas.
PETALING JAYA:
Ahli politik, pempengaruh dan pemimpin masyarakat diingatkan agar tidak mempolitikkan keputusan mahkamah, yang mendapati bekas perdana menteri Najib Razak bersalah dalam kes melibatkan dana 1MDB.

Adun Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, mengingatkan bahawa menggunakan keputusan mahkamah sebagai modal politik, menabur keraguan terhadap integriti hakim, atau membingkai sabitan jenayah sebagai agenda pihak tertentu adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya.

“Ia bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh menghakis keyakinan awam terhadap institusi keadilan negara,” katanya, yang lebih dikenali sebagai Altimet, dalam kenyataan.

“Segala usaha untuk menggambarkan keputusan mahkamah sebagai konspirasi politik atau untuk mengapi-apikan sentimen awam terhadap badan kehakiman mesti ditolak sama sekali.”

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun, dan denda RM11.387 bilion, ke atas bekas perdana menteri Najib Razak, yang didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

Menyusuli keputusan mahkamah, Syed Ahmad menyeru rakyat beri ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugas, menghormati keputusan yang dibuat mengikut lunas undang-undang, dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

Najib akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan mahkamah, pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.