
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.
Sequerah mendapati Najib mempunyai kepentingan dalam pelbagai projek 1MDB, termasuk projek usaha sama PetroSaudi, pemerolehan dua loji janakuasa bebas (IPP), usaha sama dengan Aabar untuk membangunkan Tun Razak Exchange, serta pengambilan pinjaman sebanyak USD1.25 bilion untuk opsyen beli balik (option buy-back).
Mahkamah menyatakan jejak aliran wang yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menunjukkan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Najib berasal daripada 1MDB.
“Pihak pembelaan tidak pernah cuba menyangkal laporan yang dibuat oleh penganalisis Bank Negara (BNM), Adam Ariff Roslan,” kata Sequerah.
Beliau juga berkata tindakan Najib ‘memulangkan’ lebih daripada USD620 juta selepas PRU 2013 menimbulkan persoalan.
Bagaimanapun, setahun selepas dana tersebut ‘dipulangkan’ kepada pengirim, Tanore Finance Corporation, Sequerah berkata Najib menerima dana baharu, yang didakwa dalam bentuk ‘derma’.
“Pemulangan derma tersebut adalah satu tindakan untuk menutup (salah laku beliau),” katanya.
Mahkamah sedang mendengar rayuan mitigasi daripada peguam Najib dan pihak pendakwaan sebelum menetapkan hukuman.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Seramai 50 saksi memberi keterangan sepanjang kes pendakwaan, yang berlangsung selama 253 hari perbicaraan bermula dari 28 Ogos 2019 hingga 30 Mei 2024.
Semasa pembelaan, peguam Najib memanggil 26 saksi untuk menyokong kes bekas presiden Umno itu.
Perbicaraan peringkat pembelaan bermula pada 2 Disember tahun lalu dan berakhir pada 6 Mei.