
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Lima individu dalam helikopter itu termasuk seorang juruterbang dan penolong juruterbang terselamat, dengan seorang mengalami kecederaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.47 pagi tadi dan segera ke lokasi kejadian.
“Tiada kebakaran dikesan pada helikopter itu dan semua mangsa dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi.
Norazam berkata, seorang mangsa patah kaki dan cedera di kepala manakala empat yang lain tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, helikopter berkenaan terhempas dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 9.18 pagi tadi.
Katanya, semua penumpang dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara sedang menyiasat punca kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) mengesahkan kemalangan berlaku pada 9.25 pagi.
Helikopter itu berlepas dari Sungai Lembing, Pahang pada 8.30 pagi untuk penerbangan persendirian ke Subang, kata Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan.
Kes disiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara mengikut Peraturan Penerbangan Awam.