Jualan tiket bas ekspres melalui OTA mesti ada kod QR

Jualan tiket bas ekspres melalui OTA mesti ada kod QR

Langkah diambil susulan aduan orang ramai yang terpaksa menunggu lama di kaunter Terminal Bersepadu Selatan sebelum dibenar masuk ke pintu pelepasan.

Bas-Persiaran
Tiket bas ekspres yang akan dibeli mulai bulan ini mesti dilengkapi kod QR supaya penumpang tidak perlu lagi menukarnya apabila tiba di Terminal Bersepadu Selatan.
KUALA LUMPUR:
Penjualan tiket bas ekspres melalui ejen pelancongan dalam talian (OTA) diwajibkan mempunyai kod QR mulai bulan ini bagi mengelakkan penumpang terpaksa beratur menukar tiket secara fizikal di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata langkah itu diambil susulan aduan orang ramai yang terpaksa menunggu lama di kaunter TBS sebelum dibenarkan masuk ke pintu pelepasan.

“Jadi, untuk mana-mana tiket yang akan dibeli mulai Februari ini, memang dah ada kod QR, penumpang tak perlu lagi tukar kod QR apabila sampai ke TBS.

“Untuk tiket yang dibeli sebelum ini, bagi tiket yang tak ada kod QR, pihak TBS juga telah membantu iaitu mereka boleh mendapatkan kod QR itu secara dalam talian melalui laman web TBS,” katanya kepada media selepas lawatan kerja ke TBS.

Beliau berkata, usaha penambahbaikan itu dapat mengurangkan kesesakan ketara ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.

Dalam pada itu, Loke berkata kementeriannya mengarahkan operator TBS mempertingkat penyelenggaraan kemudahan asas termasuk eskalator, lif dan kebersihan tandas susulan banyak aduan pengguna.

“Perkara asas ini memang mendapat perhatian kami dan kita mewajibkan pihak operator untuk memastikan tahap keselesaan kepada pengguna sentiasa terjaga kerana mereka ada mengenakan caj perkhidmatan kepada penumpang.

“Jadi adalah tanggungjawab kepada pihak operator untuk menjaga kemudahan dan juga kebersihan terminal ini,” katanya.

Sementara itu, Loke turut mengumumkan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Bandar Sri Permaisuri akan dipindahkan ke TBS bermula Mac ini dan beroperasi sebagai pejabat moden mesra pelanggan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.