
Tran Thi Thoai Trin, ibu kepada seorang anak lelaki berusia dua tahun, dibawa ke Mahkamah Majistret dengan tangan bergari dan mengaku bersalah serta membayar denda RM350.
Tran didakwa tidak mencatatkan butirannya dalam buku pengesanan kontak, seperti dikehendaki undang-undang, sebelum memasuki sebuah restoran pada hari beliau ditahan 13 Mac lalu.
Wanita itu dibebaskan tiga hari sebelum reman 14 harinya tamat, untuk kesalahan yang sepatutnya boleh dikompaun. Bagaimanapun, peguamnya berkata, beliau dimaklumkan warga asing tidak boleh dikompaun.

Peguamnya, V Vemal Arasan berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ermadie Asmadi.
Tidak diketahui sama ada terdapat warga asing lain yang didakwa melakukan kesalahan itu tanpa dikompaun.
Seorang pegawai Kementerian Kesihatan terkejut dengan kenyataan timbalan pendakwa raya itu dan meminta Tran memfailkan aduan.
Vemal berkata, polis memberitahu Tran ketika menahannya yang beliau akan dikompaun kerana melanggar SOP Covid-19 dan beliau bersetuju membayar denda itu.
Orang ramai wajib mengimbas kod QR MySejahtera atau menulis butiran mereka dalam buku pengesanan kontak ketika memasuki sesebuah premis di bawah Peraturan 15 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Sebelum kes itu didengar, Majistret Amirul Asyraf mengarahkan polis membuka gari di tangan Tran selepas Vemal membantah anak guamnya bukan penjenayah biasa.
Vemal berkata, Tran tidak melakukan kesalahan jenayah dan didakwa melanggar SOP Covid-19, yang merupakan kes saman.
Ejen hartanah, Yeoh Wei Chong, 29, memberitahu Vemal yang isterinya “sangat letih” selepas ditahan selama 11 hari di Depot Imigresen di Sepang, pusat untuk pendatang asing tanpa izin.
Vemal berkata, walaupun Yeoh bersyukur isterinya itu dibebaskan, beliau menganggap sangat tidak adil Tran ditahan begitu lama sedangkan telah menunjukkan dokumen sah.
Kes Tran mendapat perhatian meluas selepas polis menahannya dan mendapatkan perintah reman 14 hari untuk mengesahkan sijil perkahwinannya dan visa beberapa kali masuk yang membolehkannya tinggal di Malaysia sehingga Januari 2022.
Vemal mempersoalkan keperluan tahanan 14 hari sedangkan dokumen itu boleh disahkan “dalam beberapa jam”.
Katanya, walaupun Akta Imigresen membenarkan penahanan sedemikian, kes Tran berkecuali kerana mempunyai dokumen sah untuk berada di Malaysia.