
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Mohd Akmal Hizam Abd Khupur berkata dalam kejadian pada kira-kira 6.30 petang semalam, mangsa dikenali sebagai Hasmah Mat Isa, 69, dan anaknya Noraiza Hashim, 28.
“Siasatan awal mendapati, kereta itu berada di kawasan pakir tasik berkenaan sebelum pemandunya dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke depan lalu meluncur masuk ke dalam tasik.
“Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan sebelum lemas,” katanya dalam kenyataan.
Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan dengan bantuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (BPP) Serdang dengan dibantu oleh BBP Selama, Perak dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata mayat Hasmah berjaya dibawa keluar oleh Pasukan PPDA pada 8.40 malam manakala mayat anaknya pada 8.59 malam tadi.
“Sementara kereta Proton Persona itu telah dibawa naik ke permukaan pada 11 malam tadi,” katanya.
Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.