Kementerian Luarnya dalam kenyataan rasmi yang disiarkan agensi berita KCNA berkata, Malaysia melakukan “jenayah yang tidak boleh dimaafkan” kerana menghantar rakyatnya yang tak bersalah ke AS secara paksa.
“Justeru, Kementerian Luar Korea Utara mengumumkan hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan secara total,” menurut kenyataan itu.
Malah, menurut laporan KCNA, Korea Utara memberi amaran kepada AS, mengatakan ‘Washington akan menanggung padahnya’.
Pada 3 Mac lalu, Mun Chol Myong gagal dalam rayuan di mahkamah untuk mengelak diekstradisi ke AS atas dakwaan melakukan penggubahan wang haram.
Lelaki itu yang tinggal di Malaysia selama lebih sedekad bersama keluarganya ditahan pada 2019 susulan permohonan ekstradisi dari Washington.