
Kakak mereka yang berusia 23 tahun berkata, mereka mengharapkan pelaksanaan keadilan segera dan menunggu untuk diberikan Perintah Perlindungan (PO) daripada gangguan bapa mereka yang akan didakwa Isnin depan.
Beliau berkata, adiknya yang kini pelajar universiti berusia 20 tahun, terkesan dari segi mental, akibat menjadi mangsa gangguan seksual oleh bapa mereka sepanjang 10 tahun lepas.
“Adik saya cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangannya beberapa kali dalam tempoh dua tahun lepas. Kali terakhir dia melakukannya ialah pada Julai lalu.

“Dia takut dan berasa terancam dengan lelaki. Dia juga menderitai igauan susulan trauma yang dilaluinya,” kata eksekutif khidmat pelanggan itu.
Beliau mendakwa, bapanya, yang merupakan pemilik rangkaian kedai runcit di Lembah Klang, membiarkan mereka tanpa satu sen pun selepas laporan polis dibuat terhadapnya kerana melakukan gangguan seksual pada Januari.
Lelaki berkenaan, berusia 50-an dikatakan telah melakukan kira-kira 230 gangguan seksual ke atas anak perempuannya dari 2010 hingga awal tahun lepas.
Menurutnya, selepas laporan polis dibuat, mereka adik-beradik, termasuk seorang yang berusia 16 tahun, meninggalkan rumah keluarga mereka untuk tinggal di rumah ibu saudara di Kajang kerana bimbangkan tindakan balas.
Ibu mereka meninggal dunia tiga tahun lepas.
Baru-baru ini adik-beradik itu mendedahkan kisah mereka di saluran YouTube “Reality Check” dalam temu bual dengan Puspavathy Ramaloo.
Saluran itu menawarkan platform kepada individu teraniaya mengetengahkan kes masing-masing, dengan mendakwa pihak berkuasa lambat bertindak.

Pada Rabu Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin, menolak dakwaan lambat bertindak dengan berkata, lelaki terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 354 dan 509 Kanun Keseksaan membabitkan penggunaan ancaman jenayah dengan tujuan menceroboh kehormatan seseorang.
Katanya, tiga adik-beradik itu akan dilindungi oleh PO dan mangsa pada mulanya menolak perintah interim itu yang meliputi dirinya, tetapi tidak melindungi adik-beradiknya.
Semasa tindakan polis dan undang-undang sedang berjalan, tiga beradik tersebut merasakan kehidupan mereka telah musnah.
“Kami tidak berdaya, tiada kemampuan dan ketakutan,” kata kakak tertua, dengan menambah bahawa mereka berdepan kesulitan untuk meneruskan kehidupan.
Katanya, beliau telah menggadaikan rantai emasnya untuk membayar sebahagian daripada yuran universiti adiknya yang mengambil kursus seni kulinari.
Beliau kini sedang mencari jalan bagaimana untuk membayar baki yuran sebanyak RM9,000 yang perlu dibayar tidak lama lagi.
“Walaupun kami merupakan waris caruman KWSP emak berjumlah RM80,000 dan polisi insuransnya sebanyak RM230,000, bapa kami menuntutnya dan kami tidak mendapat walaupun satu sen,” katanya.
Katanya, mendedahkan pengalaman gangguan seksual bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi jika orang ramai melihat seseorang mangsa memecahkan pintu ketakutan itu, maka mereka mungkin berasa terdorong untuk mengongsikan kisah mereka.”
Katanya, beliau meminta bantuan Puspavathy, yang merupakan kawan ibu saudara mereka, untuk mendedahkan perkara itu, sekali gus mendesak pihak berkuasa mempercepatkan tindakan mereka.
“Saya tidak mahu adik saya membesar dengan perasaan membenci diri sendiri kerana percaya beliau menjadi punca dan layak menerima keadaan itu.
“Saya bersyukur kerana beliau bersetuju mengetengahkan kes itu dan juga berterima kasih kepada pihak polis kerana memberi sedikit kelegaan kepada kami,” katanya.
Puspavathy, yang merupakan bekas penyiar kanan TV3 dan pemenang pelbagai anugerah berkata, “apabila seseorang mangsa melihat bekas mangsa berani untuk mengongsikan kisah masing-masing, maka mereka mungkin terdorong untuk melakukan perkara yang sama.
“Apabila bekas mangsa berasa selamat untuk tampil ke muka, kita boleh membantu mereka dengan lebih mudah,” katanya, sekali gus mahu mangsa menyedari bahawa bantuan dan pertolongan sentiasa ada untuk mereka.