DBKL akan warta lebih banyak taman awam jadi kawasan hijau kekal

DBKL akan warta lebih banyak taman awam jadi kawasan hijau kekal

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, DBKL dalam proses mewartakan Taman Persekutuan Bukit Kiara berkeluasan lebih 400ha sebagai kawasan hutan dan hijau kekal.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, penting untuk memastikan Kuala Lumpur mempunyai kawasan hijau mencukupi dan dilindungi daripada pembangunan. (Gambar Taman Botani Negara)
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewartakan lebih banyak taman awam bagi mengekalkan kawasan hijau kekal di sekitar Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata sebagai permulaan, DBKL dalam proses mewartakan Taman Persekutuan Bukit Kiara berkeluasan lebih 400ha sebagai kawasan hutan dan hijau kekal, dalam masa terdekat.

“Apa yang kita lakukan sekarang adalah memastikan Kuala Lumpur mempunyai kawasan hijau mencukupi dan dilindungi daripada pembangunan.

“Oleh itu, kita kena ambil langkah segera mewartakan taman awam yang mempunyai kawasan hijau ini secara kekal sampai bila-bila. Misalnya, kita sudah mewartakan sebahagian Taman Persekutuan Bukit Kiara dan sebahagian lagi akan menyusul sehingga mencapai 400ha,” katanya selepas meninjau kemudahan di Taman Botani Kuala Lumpur.

Annuar berkata, DBKL sedang berusaha mewartakan Taman Tugu di Kuala Lumpur sebagai salah satu khazanah negara yang perlu dilindungi sampai bila-bila.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, DBKL juga sedang berusaha menaik taraf kemudahan di taman awam berkenaan bagi memastikan rakyat dapat menikmati dan beriadah di kawasan selamat serta berkualiti.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan berusaha supaya taman awam seperti Taman Tugu dan Taman Botani KL dapat dihubungkan secara terus dengan sistem pengangkutan awam yang cekap dari KL Sentral.

“Saya juga berharap pihak berkuasa tempatan dapat menyediakan kemudahan asas bukan hanya mencukupi, malah mesra golongan kurang upaya, termasuk pengguna kerusi roda.

“Ini penting bagi memastikan golongan OKU, termasuk mereka yang berkerusi roda dapat menikmati kemudahan di taman-taman awam di sekitar Kuala Lumpur pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, PBT juga perlu meningkatkan tahap keselamatan di taman awam bagi memastikan tidak berlaku kes jenayah jalanan seperti ragut dan samun.

“PBT juga perlu melakukan kaji selidik bagi menilai tahap kepuasan pengguna terhadap kemudahan dan tahap keselamatan di taman awam sekitar Kuala Lumpur.

“Langkah berkenaan membolehkan pengguna dan orang awam mengemukakan cadangan dan idea bernas bagi penambahbaikan kemudahan di taman awam di sekitar KL.”

Katanya, DBKL juga bercadang membina beberapa lagi taman awam di sekitar Tasik Batu, Taman Beringin dan kemudahan riadah serta rekreasi bagi penduduk setempat.

“Kita berharap semua langkah berkenaan dapat meningkatkan lagi imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang bersih, indah dan dilitupi kawasan hijau.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.