
Menurut laporan Reuters, seorang lagi aktivis turut mempertimbangkan berundur dari panel baru berusia dua minggu itu selepas pengeluar minyak sawit lestari itu menyaman Pengarah Urusan Liberty Shared, Duncan Jepson, berkaitan dakwaan penyalahgunaan pekerja.
SDP tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan agensi berita itu untuk mengulas.
“Susulan kejadian beberapa hari lalu, kami dengan kesal memutuskan untuk menarik diri daripada Suruhanjaya Penilaian Hak Asasi Manusia Pihak Berkepentingan syarikat itu,” kata Francis West, pengarah penglibatan perniagaan SHIFT yang berpangkalan di AS kepada Reuters pada Jumaat.
SHIFT bekerja dengan syarikat untuk melaksanakan Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.
Seorang lagi ahli suruhanjaya itu, aktivis hak pekerja asing, Andy Hall mempertimbangkan mengikut jejak itu jika SDP meneruskan tindakan undang-undang berkenaan.
“Saya sangat bimbang dengan kesan daripada litigasi berterusan ini terhadap aktivis hak asasi manusia mengenai kemungkinan suruhanjaya hak asasi manusia untuk berfungsi secara berkesan mengikut matlamatnya, dan menjalankan tugasnya secara objektif dan terhormat,” kata Hall kepada Reuters pada Sabtu.
“Saya menyuarakan keraguan mendalam terhadap litigasi itu kepada pengurusan kanan SDP dalam pertemuan sulit pada Jumaat. Saya akan membuat keputusan muktamad mengenai penyertaan saya dalam suruhanjaya hak asasi SDP susulan mesyuarat dengan lembaga pengarah SDP pada Isnin.
“Saya mungkin perlu meletak jawatan jika Sime Darby memutuskan untuk meneruskan tindakannya,” kata Hall sambil menambah timbul kebimbangan yang tindakan undang-undang itu akan menjejaskan pemberi maklumat.
Sime Darby menubuhkan panel hak asasi itu 1 Mac lalu, tetapi ia memulakan tindakan undang-undang di AS Khamis lalu terhadap Jepson, yang mengetuai kumpulan anti-pemerdagangan manusia berpangkalan di Hong Kong, untuk mendapatkan maklumat mengenai aduannya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang menyiasat syarikat itu atas pendedahan salah dalam Laporan Kelestarian 2019.
Disember lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) untuk menyekat produk Sime Darby atas dakwaan penggunaan buruh paksa susulan petisyen dikemukakan Liberty Shared.