Isu CCTV di sekolah tak berfungsi, pegawai perlu bertanggungjawab, kata aktivis

Isu CCTV di sekolah tak berfungsi, pegawai perlu bertanggungjawab, kata aktivis

Aktivis berkata KPM bertanggungjawab dari segi dasar, pembiayaan dan pemantauan, manakala pihak sekolah pula terhadap penyelenggaraan.

cctv in classroom
Baru-baru ini didedahkan bahawa hanya 28% CCTV di sekolah berfungsi. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Dua aktivis berkata pihak pengurusan sekolah dan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu dipertanggungjawabkan susulan pendedahan hanya 28% kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah seluruh negara berada dalam keadaan berfungsi.

Aktivis hak kanak-kanak, Hartini Zainudin, dan aktivis pendidikan, Noor Azimah Abdul Rahim, berkata KPM bertanggungjawab dari segi dasar, pembiayaan dan pemantauan, manakala pihak sekolah pula bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan harian CCTV berkenaan.

Mereka turut mencadangkan supaya ibu bapa membuat aduan atau mempertimbangkan tindakan undang-undang.

“Kegagalan di mana-mana peringkat akan meletakkan pelajar dalam keadaan berisiko,” kata Pengerusi Parent Action Group for Education Malaysia, Noor Azimah kepada FMT.

Hartini berkata KPM perlu memikul tahap tanggungjawab yang lebih besar memandangkan peranan kepimpinannya, sambil menambah kadar fungsi CCTV sebanyak 28% itu ‘menunjukkan kegagalan sistemik dan bukannya kelemahan terpencil di peringkat sekolah’.

“Pengurusan sekolah tidak boleh dipersalahkan tanpa sumber yang mencukupi, SOP yang jelas dan sokongan teknikal — siapa yang mengaudit, berapa kerap, dan apa yang berlaku apabila sistem gagal,” katanya.

Pada Jumaat, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kadar yang rendah itu menjejaskan keyakinan ibu bapa dan masyarakat, serta memerlukan tindakan segera oleh KPM dan pengurusan sekolah, ketika beliau mendedahkan angka CCTV yang berfungsi.

Beliau berkata jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan semua sekolah diarahkan memastikan CCTV masing-masing berfungsi, sambil menambah kementerian akan memasang 300 lagi CCTV di sekolah terpilih di seluruh negara.

Hartini dan Noor Azimah berkata peratusan rendah CCTV yang berfungsi itu menimbulkan persoalan mengenai komitmen sekolah dalam memastikan keselamatan pelajar, ketika kejadian jenayah ganas dilaporkan berlaku di kawasan sekolah.

Mereka juga berkata kepercayaan ibu bapa terhadap sekolah-sekolah berkenaan berkemungkinan terhakis susulan pendedahan Fadhlina itu.

Kedua-dua aktivis berpendapat peratusan rendah CCTV berfungsi mencerminkan budaya penyelenggaraan yang lemah di negara ini, yang melangkaui isu di sekolah.

Bagaimanapun, Hartini berkata terdapat corak berulang dalam infrastruktur awam di mana sistem dipasang, sering kali dengan kos yang tinggi, tetapi tidak diselenggara, dipantau atau dinaik taraf.

“Penyelenggaraan dianggap sebagai pilihan dan bukannya keperluan,” kata pengasas Yayasan Chow Kit itu.

Ibu bapa perlu bertindak

Hartini dan Noor Azimah juga menggesa ibu bapa membuat aduan kepada jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah berhubung kelemahan keselamatan di sekolah anak-anak mereka.

Noor Azimah turut mencadangkan ibu bapa mengambil tindakan undang-undang atau menuntut siasatan bebas sekiranya kecuaian dapat dibuktikan di sekolah masing-masing.

Hartini pula mencadangkan ibu bapa membawa perkara itu kepada ahli Parlimen dan wakil rakyat negeri masing-masing sekiranya aduan berulang tidak diendahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.