
Badan hak asasi itu berkata, undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani masalah itu dan sebaliknya menggesa kerajaan menimbangkan penggubalan “Akta Kebebasan Maklumat” bagi menjamin kebebasan media dan menggantikan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Sudah ada banyak undang-undang untuk menangani salah laku tersebut dan berdasarkan persekitaran semasa dan perkembangan terbaharu, terasa seperti wujud kecenderungan untuk menutup mulut dan mendakwa mereka yang bercakap benar dan memberi maklumat berhubung pesalah,” kata Presidennya, Muhammad Mohan dalam kenyataan.
Berkuat kuasa semalam, mereka yang menghasil, menyiar atau menyebarkan berita palsu boleh didenda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021.
Muhammad mencadangkan akta baharu bagi menggantikan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 melalui libat urus dan rundingan dengan orang awam.
Beliau berkata, kerajaan perlu berbuat lebih banyak bagi memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan badan itu yang menyaksikan Malaysia merosot dua mata tahun ini.
Malaysia memperoleh 51 daripada mata penuh 100 dalam laporan terbaharu itu, yang menyaksikannya berada di kedudukan ke-57 di dunia berbanding 51 sebelum ini di belakang Arab Saudi, Mauritius dan Itali.
“Laporan CPI tahunan mengambil kira bukan sahaja amalan rasuah, tetapi juga pelanggaran hak asasi manusia, ketelusan pentadbiran, kebebasan maklumat, pendakwaan berkesan pegawai rasuah dan faktor lain,” kata Muhammad, selain menambah ia merupakan “unsur penting” bagi demokrasi.