Singapura nafi dakwaan tular mengenai bedah siasat Covid-19

Singapura nafi dakwaan tular mengenai bedah siasat Covid-19

MOH Singapura gesa orang ramai tidak sebar maklumat tidak berasas yang boleh menyebabkan kebimbangan.

Kementerian Kesihatan Singapura kata mesej mengandungi dakwaan palsu yang tersebar pada 2021 muncul semula. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak berasas yang boleh menyebabkan kebimbangan orang awam susulan penyebaran maklumat salah mengenai dakwaan hasil bedah siasat Covid-19 dan undang-undang vaksinasi baharu di platform media sosial.

MOH menasihatkan orang ramai supaya merujuk laman sesawang rasmi kementerian untuk maklumat tepat dan terkini.

Kementerian menjelaskan mesej yang pada asalnya tersebar pada 2021 muncul semula. Mesej itu secara palsu mendakwa Singapura negara pertama di dunia yang melakukan bedah siasat ke atas mayat pesakit Covid-19 dan mendapati Covid-19 tidak wujud sebagai virus tetapi sebagai bakteria.

“Ini adalah palsu. Seperti yang telah dijelaskan oleh kementerian sebelum ini, Singapura tidak pernah melakukan bedah siasat sedemikian dan juga tidak benar bahawa Covid-19 disebabkan oleh bakteria,” menurut kenyataan.

MOH turut menafikan dakwaan di media sosial menyatakan kononnya Singapura meluluskan undang-undang yang mewajibkan vaksinasi dan memenjarakan individu yang tidak divaksin selepas lawatan Bill Gates ke negara itu baru-baru ini.

“Ini tidak benar. Singapura tidak meluluskan sebarang undang-undang mengenai vaksinasi selepas lawatan Gates ke Singapura,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.