
Presiden Raymon Ram berkata, laporan itu mendedahkan ketakteraturan serta kelemahan sistemik pengurusan kewangan dan pengawasan perolehan, sekali gus memerlukan reformasi struktur menyeluruh.
Katanya, isu berlaku bukan perkara baru dan berulang kali dibangkit Jabatan Audit, namun amalan tersebut kekal berleluasa disebabkan prosedur lapuk, pengawasan lemah serta budaya tidak bertanggungjawab tanpa sebarang tindakan tegas.
“Mana letaknya kebertanggungjawaban bagi semua kecuaian ini? Kerajaan mesti mengambil pendirian tegas dan memastikan kepimpinan bertanggungjawab atas ketakteraturan melibatkan dana awam.
“Dapatan berulang itu jelas menunjukkan kelemahan institusi yang tidak boleh diperbaiki hanya melalui tindakan pentadbiran semata-mata — ia menuntut reformasi struktur menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pendedahan itu akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi awam.
Laporan Ketua Audit Negara menimbulkan kebimbangan serius mengenai ketakteraturan lebih RM460 juta dana kerajaan bagi urus niaga tanah, tender universiti, dan kontrak pertahanan antara 2020 hingga 2024, dengan menamakan Felcra Bhd, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan tentera.
Raymon menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis memulakan siasatan terhadap isu berkenaan berkemungkinan berlaku penipuan, penyalahgunaan kuasa atau kecuaian.
Beliau menuntut kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan berkaitan mendedahkan tindakan pembetulan yang akan diambil dalam tempoh 30 hari, sebagai tanda tanggungjawab serta bagi memastikan keyakinan rakyat dipulihkan.
Katanya, kerajaan perlu mewajibkan penglibatan pakar bebas pihak ketiga memantau perolehan berisiko tinggi melalui pelaksanaan ‘perjanjian integriti’, membabitkan penyertaan masyarakat sivil dan golongan profesional sektor swasta.
Raymon mencadangkan Putrajaya membentangkan undang-undang perolehan awam menyeluruh, merangkumi piawaian ketelusan, hukuman bagi ketidakpatuhan serta mekanisme penyelesaian pertikaian perolehan yang jelas.
“Laporan Ketua Audit Negara tidak seharusnya menjadi upacara tahunan yang dipenuhi penyesalan.
“Ia mesti menjadi pemangkin reformasi — di mana mampu membina semula integriti institusi, menjamin keadilan terhadap salah laku, dan melindungi kepentingan rakyat,” katanya.