10,200 keluarga miskin di KL dalam data e-Kasih, kata Mustapa Mohamed

10,200 keluarga miskin di KL dalam data e-Kasih, kata Mustapa Mohamed

Data diperoleh berdasarkan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengklasifikasikan keluarga dengan pendapatan di bawah RM2,216 sebagai miskin, RM1,110 ke bawah miskin tegar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, jumlah itu merangkumi 6,800 keluarga miskin dan 4,400 keluarga miskin tegar.
KUALA LUMPUR:
Verifikasi data e-Kasih terkini menunjukkan jumlah penduduk miskin dan miskin tegar di Kuala Lumpur meningkat kepada 10,200 keluarga, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Beliau berkata jumlah itu adalah data yang diperoleh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM yang merangkumi 6,800 keluarga berada dalam kategori miskin dan 4,400 keluarga dalam kategori miskin tegar.

“Data ini diperoleh berdasarkan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengklasifikasikan keluarga dengan pendapatan di bawah RM2,216 sebagai miskin dan RM1,110 ke bawah sebagai miskin tegar,” katanya kepada media, malam ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan kemiskinan dan verifikasi data bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, Taman Maluri, di sini.

Terdahulu Mustapa melawat empat rumah di PPR Perkasa dan bertemu dengan penduduk terdiri daripada mereka yang menerima bantuan sosial dan orang kurang upaya (OKU) serta mengadakan dialog bersama persatuan penduduk.

Mustapa berkata sejumlah 300 keluarga daripada keseluruhan 800 keluarga di PPR Perkasa kini menerima pelbagai bantuan sosial dan kebajikan.

“Tujuan saya membuat tinjauan malam ini adalah untuk melihat sendiri situasi miskin bandar dalam usaha kerajaan mendapatkan profil keluarga yang dikategorikan sebagai miskin bandar.

“ICU JPM akan mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan dan akan turun padang untuk beri penjelasan berkaitan program e-Kasih dalam usaha kerajaan rangka strategi tangani kemiskinan bandar dalam Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.