
Kejadian itu berlaku apabila suspek wanita warga Indonesia berumur 39 tahun menelefon mangsa bagi mendapatkan bantuan untuk mengangkat anaknya kerana tangan suspek kononnya mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Abd Khalid Othman berkata, mangsa yang percaya terus ke rumah suspek untuk membantunya namun setibanya mangsa, suspek menolak mangsa dan menghentak kepala mangsa ke lantai sehingga mati.
Berikutan itu, suspek dipercayai mengambil barang kemas milik mangsa dan telah menggadaikannya bagi melangsaikan hutang berjumlah RM5,000 semalam.
Menurut beliau, suami mangsa warga tempatan berusia 47 tahun, hanya menyedari kehilangan isterinya selepas pulang bekerja dan mendapati pintu rumahnya tidak berkunci pada kira-kira 7 malam pada Isnin.
“Suami mangsa masuk ke rumah dan mendapati telefon bimbit serta barangan peribadi milik mangsa masih ada tetapi mangsa tiada di rumah,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, awal pagi tadi.
Abd Khalid berkata, kali terakhir suaminya berjumpa dengan mangsa adalah pada 1.20 tengah hari dan berhubung dengan mangsa pada 3.46 petang hari yang sama.
Sehubungan itu, suami mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya di Balai Polis USJ 8 pada 12 tengah malam semalam.
“Berikutan itu, polis telah menahan suspek semalam dan hasil soal siasat, suspek mengaku telah membunuh mangsa yang merupakan seorang penjual kuih berusia 54 tahun serta membawa pihak polis ke tempat suspek menyembunyikan mayat mangsa.
“Polis menemukan mayat mangsa diselubungi kain dan selimut di bawah katil suspek semalam dengan terdapat kesan pendarahan pada bahagian kepala,” kata beliau, sambil menambah, rumah mangsa hanya 10m sahaja dari rumah suspek.
Beliau berkata, mangsa dan suspek saling mengenali dan sentiasa berurusan perniagaan kuih-muih di gerai berhampiran rumah mangsa.
Mengulas lanjut, Abd Khalid berkata, semasa kejadian, hanya terdapat dua anak suspek yang berusia setahun dan tiga bulan di dalam rumah manakala suami suspek tiada di rumah.
“Selain suspek, polis turut menahan suami suspek warga tempatan berusia 48 tahun yang bekerja sebagai kru produksi bagi membantu siasatan.
“Motif pembunuhan ini adalah masalah kewangan dan mangsa memakai barangan kemas yang banyak, dipercayai suspek terdesak sehingga bertindak sedemikian,” kata beliau.
Abd Khalid berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala reman suspek akan dimohon pagi ini.