Pengetua ditahan atas dakwaan cabul pekerja kebersihan sekolah

Pengetua ditahan atas dakwaan cabul pekerja kebersihan sekolah

Ia susulan laporan polis dibuat empat pekerja kontrak kebersihan yang mendakwa lelaki itu menghantar teks berunsur lucah melalui aplikasi WhatsApp dan mencabul mereka secara fizikal di sekolah.

Polis berkata, suspek berusia 52 tahun itu direman empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan.
KUALA BERANG:
Polis menahan pengetua sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu bagi membantu siasatan berhubung kes cabul dan gangguan seksual sejak Januari hingga hujung bulan lepas.

Suspek berusia 52 tahun itu ditahan di rumahnya di Kuala Nerus kira-kira 11 malam Isnin lepas, susulan laporan polis dibuat empat wanita yang merupakan kakitangan dan pekerja kontrak kebersihan sekolah berkenaan pada 8 dan 9 Mac.

Menurut sumber, semua mangsa mendakwa suspek mengganggu mereka dengan menghantar teks berunsur lucah melalui aplikasi WhatsApp dan turut mencabul secara fizikal ketika berada di sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang kini direman empat hari bermula semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan untuk siasatan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

“Kes tersebut turut disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.