Kerajaan digesa perbaiki struktur pekerjaan untuk kawal kadar pengangguran

Kerajaan digesa perbaiki struktur pekerjaan untuk kawal kadar pengangguran

Dua pakar ekonomi dan pengasas sebuah firma perekrutan berkata, pasaran kerja perlu menyesuaikan diri dengan permintaan baharu.

Menurut Jabatan Statistik, kadar pengangguran negara meningkat sedikit dengan 782,500 orang tiada pekerjaan pada Januari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua ahli ekonomi menggesa kerajaan mengkaji semula struktur pekerjaan dalam negara dan mempertimbangkan pendekatan baharu untuk memerangi peningkatan kadar pengangguran di kala wabak.

Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia memberi amaran bahawa sektor pelancongan serta sektor pekerjaan penting yang lain tidak akan pulih banyak pada tahun ini, kerana pelancaran vaksin dan pembatalan SOP akan berlaku secara perlahan.

Williams berkata, negara terpaksa menerima hakikat banyak pekerjaan yang terhapus “tidak akan kembali”, sambil menambah, terdapat keperluan bagi “pendekatan baharu dalam rangka kerja pasaran sosial”.

“Ada pekerjaan di mana syarikat telah menemukan alternatif bagi kerja sepenuh masa dan menggunakan ‘freelancer’, atau ekonomi gig,” kata beliau.

Geoffrey Williams

“Pekerjaan menjadi lebih tidak formal atau tidak menentu. Ini adalah perubahan struktur. ”

Beliau berkata, subsidi gaji dan skim pekerjaan kerajaan bukan penyelesaian jangka panjang kerana ia mewujudkan “pekerjaan palsu” yang mampu menjejaskan pasaran kerja.

Jabatan Statistik baru-baru ini mencatatkan lagi peningkatan dalam kadar pengangguran di Malaysia, dengan 782,500 orang tiada pekerjaan pada Januari. Pada Disember, 772,900 orang menganggur, berbanding 764,000 pada November.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan jumlah pengangguran sebahagiannya disebabkan oleh perubahan strategi perniagaan dalam industri berkaitan pelancongan.

Walaupun sempadan antarabangsa ditutup, Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata, kerajaan perlu mula merancang untuk menyusun semula industri pelancongan negara untuk menampung permintaan pasca wabak.

Barjoyai Bardai

Beliau meramalkan perubahan paradigma dalam industri pelancongan, kerana lebih ramai orang akan melakukan perjalanan untuk bersantai dan mengembara di masa hadapan. Ini kerana mereka yang biasa melakukan perjalanan perniagaan kini lebih suka berhubung secara dalam talian.

“Kita memiliki banyak tempat strategik untuk menarik pelancong, tetapi kita harus mengembangkan konsep pelancongan baharu di masa hadapan. Harus ada usaha untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja dalam sektor ini, supaya mereka dapat memahami keperluan pelancong apabila semua orang sudah dapat melakukan perjalanan,” kata beliau.

Barjoyai berkata, sekiranya gagal, negara akan ketinggalan dan kehilangan pelancong kepada negara-negara jiran yang lebih bersedia.

Pengasas dan pengarah urusan firma perekrutan Aisling Group, Melissa Norman, berkata “peningkatan kemahiran bukan lagi sebuah pertimbangan, tetapi kemestian untuk mengekalkan hubungan dan kekal relevan” dalam era digitalisasi.

Melissa Norman

Walaupun Malaysia akan terus menyaksikan pasaran kerja yang mencabar tahun ini, kata beliau, lebih banyak syarikat kini lebih suka mengambil pekerja gig, kerana ia menjadikan tenaga kerja lebih fleksibel.

“Di Aisling, kami telah menyaksikan pengurangan pengambilan pekerja langsung sebanyak 40% dengan peningkatan tenaga kerja gig sebanyak 50% sejak setahun lalu,” kata beliau, sambil menambah bahawa beberapa pekerjaan kini direka bentuk untuk membolehkan pekerja bekerja dari rumah.

Berkenaan iklim pekerjaan semasa, Melissa menyarankan agar orang ramai mencari pekerjaan dalam industri e-dagang, teknologi, perbankan, penjagaan kesihatan dan pembuatan.

Beliau juga berkata, pekerja mesti belajar kemahiran baharu untuk memperluas pengetahuan dan kekal relevan dalam pasaran pekerjaan yang semakin tidak menentu semasa wabak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.