Banduan berulang di penjara Sarawak terendah di Malaysia, kata menteri

Banduan berulang di penjara Sarawak terendah di Malaysia, kata menteri

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kadar kesesakan penjara juga hanya 13.2% jauh lebih baik berbanding piawaian antrabangsa 20%.

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail berkata kadar kemasukan banduan berulang terendah di penjara Sarawak bukti keberkesanan program pemulihan. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Penjara Sarawak mencatatkan kadar residivis atau kemasukan banduan berulang terendah di Malaysia iaitu 12.7%, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, berdasarkan statistik 2023, kadar residivisme terendah itu membuktikan keberkesanan program pemulihan dilaksanakan.

“Selain itu, kadar kesesakan penjara juga hanya mencatatkan 13.2% adalah jauh lebih baik, berbanding kadar standard antrabangsa iaitu 20%.

“Ini berdasarkan pencapaian empat indikator petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu kadar kesesakan, kadar reman, kadar residivis, dan pemenjaraan yang menepati piawaian antrabangsa,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Kompleks Songket Sri Kenyalang Penjara Puncak Borneo.

Turut hadir Pengarah Penjara Sarawak Abdul Aziz Abdul Razak.

Beliau berkata, selain itu kadar residivis dalam kalangan peserta program pemulihan komuniti di penjara itu juga hanya mencatatkan 0.24%, jauh lebih rendah berbanding kadar umum 18.6%.

Saifuddin berkata, kerjasama erat antara Jabatan Penjara Sarawak, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta NGO turut memperkukuh pendekatan pemulihan inklusif khususnya bagi menangani isu dadah dan penyesuaian dalam komuniti.

Justeru, beliau berkata inisiatif di bawah program pemulihan komuniti perlu terus didukung dan disokong semua pihak kerana kadar pengulangan kesalahan dalam kalangan bekas banduan dilihat semakin rendah.

“Kejayaan program itu membuktikan pendekatan baharu dalam sistem pemulihan dan pengurusan penjara moden kini semakin berkesan, khususnya apabila ia menekankan latihan kemahiran dan pembangunan diri kepada individu yang sedang menjalani hukuman.

“Kalau kadar pengulangan kesalahan itu rendah, maka program seperti ini harus terus disokong. Malah, semasa mereka berada dalam penjara, latihan dan kemahiran yang diberikan memainkan peranan penting dalam membantu proses pemulihan,” katanya.

Beliau berkata, konsep penjara moden bukan hanya berfungsi sebagai tempat hukuman, tetapi juga pusat pemulihan yang mempersiapkan individu untuk kembali kepada masyarakat dengan lebih baik.

Mengenai penubuhan kompleks songket, Saifuddin berkata ia merupakan platform membina masa depan lebih baik melalui pemuliharaan warisan, inovasi rekaan serta pemerkasaan insan dan bukan sekadar proses pembetulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.