Puad arah peguam fail permohonan ketepi perintah injunksi Muhyiddin

Puad arah peguam fail permohonan ketepi perintah injunksi Muhyiddin

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu juga menuntut ganti rugi daripada Muhyiddin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata, beliau bersedia membela diri di mahkamah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah injunksi ex parte yang diperolehi oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap beliau.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan permohonan untuk ketepikan perintah injunksi ex parte tersebut dengan serta merta.

“Saya juga menuntut ganti rugi daripada Muhyiddin Yassin,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

“Saya yakin kepada sistem kehakiman negara kita dan saya akan membela diri saya di hadapan mahkamah.”

Ini susulan perintah injunksi interim yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada Muhyiddin untuk menghalang Puad daripada membuat kenyataan berhubung catatan berunsur fitnah di media sosial pada 1 Mac.

Berikutan perintah tersebut, Puad mengesahkan semalam beliau telah memadamkan catatan Facebooknya bertarikh 9 Feb.

Pada 16 Feb, Muhyiddin mengirim notis kepada Puad yang menuntut permintaan maaf secara terbuka dan bayaran pampasan sebanyak RM10 juta kerana didakwa memfitnah beliau.

Antara lain, beliau menuntut Puad memadam catatan bertarikh 9 Feb di Facebook berkaitan kuarantin Covid-19 untuk menteri.

Pejabat Perdana Menteri menafikan dakwaan Puad bahawa arahan kuarantin tiga hari diwartakan untuk menteri yang kembali daripada lawatan rasmi ke luar negara semata-mata kerana perdana menteri tidak mahu dikuarantin setelah kembali daripada lawatan rasminya ke Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.