Kumpulan hak asasi gesa kerajaan libatkan sektor swasta untuk percepat vaksinasi

Kumpulan hak asasi gesa kerajaan libatkan sektor swasta untuk percepat vaksinasi

Guna 9,000 fasiliti kesihatan swasta untuk ringankan beban sektor penjagaan kesihatan awam, kata CENBET kepada kerajaan.

Petugas barisan hadapan beratur untuk mendapatkan vaksin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MAEPS.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan hak asasi menyeru agar kerajaan melibatkan sektor penjagaan kesihatan swasta untuk mempercepat usaha vaksinasi.

Center for A Better Tomorrow (CENBET) juga menggesa kerajaan untuk menggunakan 9,000 klinik dan hospital swasta untuk meringankan beban sektor penjagaan kesihatan awam.

Dalam kenyataan, presiden bersama CENBET, Gan Ping Sieu, berkata pengagihan vaksin boleh berjalan dengan lebih cepat sekiranya kedua-dua sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta mensinergi tenaga mereka.

“Persatuan Hospital Swasta Malaysia telah secara terbuka meminta kerajaan untuk melibatkan mereka dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Mereka mengumumkan bahawa mereka bersedia memperoleh vaksin dari pelbagai sumber sejurus mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” kata beliau.

Gan berkata, menyisihkan sektor penjagaan kesihatan swasta hanya akan menunda pemulihan negara daripada wabak Covid-19.

“Pemimpin perniagaan, pengusaha, bahkan pekerja dalam sektor penting harus mempunyai pilihan untuk mendapatkan vaksinasi lebih awal, dengan pembiayaan sendiri,” kata beliau.

Beliau juga menggesa kerajaan untuk mendedahkan sepenuhnya pelan vaksinasi dan melaporkan kemajuannya kepada masyarakat umum.

“Mungkin akan ambil masa beberapa bulan untuk mengatasi isu kekurangan vaksin di seluruh dunia tetapi kita perlu bersedia apabila bekalan vaksin sudah mencukupi,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.