
Menurut seorang pemandu, Rizuwan Shapaye, tidak dapat dinafikan ramai pemandu tidak mendapat bayaran imbuhan yang berbaloi dengan kerja yang dilakukan.
Disebabkan bayaran yang rendah, ramai pemandu terpaksa mengerah tenaga untuk membuat lebih perjalanan.
“Ada pemandu yang terpaksa juga teruskan perjalanan. Kalau majikan tanya larat atau tidak, walaupun pun penat, buat juga demi mendapatkan bayaran lebih, sebab kalau ikut bayaran sekali perjalanan memang sedikit,” kata beliau.
Berdasarkan itu, ada pemandu yang dikatakan mengambil bahan terlarang untuk merangsang tenaga.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pemandu treler yang dipercayai menyebabkan runtuhan sebahagian struktur jejambat dalam pembinaan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Kelang (SUKE) didapati positif dadah jenis syabu.
Dalam kejadian Rabu lalu, dua pekerja kilang maut dan tiga lagi cedera parah selepas sebahagian struktur yang runtuh itu menghempap van yang mereka naiki.
Mengulas isu pengambilan bahan terlarang, Rizuwan berkata, ia sebenarnya bergantung kepada individu. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan ada pemandu mengambilnya untuk mendorong mereka supaya dapat menambah pendapatan.
“Faktor ada yang ambil dadah ini sebab mereka memang tiada masa untuk berehat. Jadi dadah ini bantu mereka supaya tidak mengantuk memandangkan mereka kena kejar perjalanan,” kata beliau.
Sementara itu, seorang lagi pemandu yang mahu dikenali sebagai Izamuddin berkata, ketiadaan kesatuan kebangsaan yang berdaftar untuk mewakili pemandu menyebabkan mereka tiada tempat untuk mengadu nasib sekiranya berlaku sebarang penindasan.
“Kalau kami mengadu kepada Jabatan Buruh, nanti kami yang kena balik.
“Tiada kesatuan kebangsaan yang mewakili suara kami, sekurang-kurangnya boleh (menjadi tempat) meluahkan sebarang ketidakpuasan hati,” kata beliau.
Sebelum ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan menyelesaikan masalah penindasan yang dihadapi oleh pemandu kenderaan berat.
Ahli Jawatankuasa PSM Sharan Raj dalam kenyataannya berkata, Kementerian Pengangkutan perlu memastikan kadar imbuhan dan perlindungan serta membenarkan penubuhan kesatuan bagi pemandu kenderaan berat.