Usahawan kecil digesa daftar perniagaan, mudahkan terima bantuan

Usahawan kecil digesa daftar perniagaan, mudahkan terima bantuan

Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ada yang bimbang sekiranya mendaftar, bantuan yang diterima sebelum ini akan ditamatkan, selain perlu membayar cukai pendapatan.

Hanya 1.2 juta usahawan kecil mendaftarkan perniagaan mereka, kata Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. (Gambar Bernama)
KOTA BAHRU:
Usahawan kecil di negara ini diseru supaya segera mendaftar perniagaan mereka bagi memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dianggarkan terdapat kira-kira 1.5 juta usahawan kecil di negara ini, namun berdasarkan bancian pada 2019, hanya 1.2 juta usahawan kecil mendaftarkan perniagaan mereka.

“Saya harap mereka segera daftarkan perniagaan masing-masing supaya mudah mendapat bantuan kerajaan secara strategik.

“Apabila mendaftar mereka bukan sahaja boleh mendapatkan bantuan daripada MEDAC, malahan kementerian serta agensi kerajaan lain seperti bantuan kewangan dan juga latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi Meet and Greet MEDAC’ bersama TUBERS Kelantan, di sini hari ini.

Ketika ditanya antara alasan usahawan kecil tidak mendaftar, Wan Junaidi rata-rata bimbang sekiranya mendaftar bantuan yang diterima sebelum ini akan ditamatkan selain perlu membayar cukai pendapatan.

“Saya beri contoh usahawan kecil menjual pisang goreng dalam golongan B40 mereka bimbang sekiranya mendaftar perniagaan seterusnya menjadi pemilik syarikat, bantuan yang diterima sebelum ini tidak lagi diterima.

“Mereka perlu sedar sekiranya meraih pendapatan contohnya RM5,000 sebulan belum tentu perlu bayar cukai kerana masih ada beberapa pengecualian yang kerajaan diberikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.