Tragedi mandi di Pantai Sungai Ular, mayat mangsa hilang ditemui

Tragedi mandi di Pantai Sungai Ular, mayat mangsa hilang ditemui

Mayat kanak-kanak yang hilang semasa mandi di Pantai Sungai Ular semalam ditemui kira-kira 12.45 tengah hari tadi.

Mayat Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin dibawa naik dari pesisir pantai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Mayat kanak-kanak yang hilang semasa mandi di Pantai Sungai Ular semalam ditemui kira-kira 12.45 tengah hari tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Rosdan Zakaria berkata, mayat Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin, 11, ditemui orang awam kira-kira 1.5km dari lokasi kejadian.

“Sejurus menerima maklumat mengenai penemuan mangsa, pasukan bomba bersama anggota polis yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa yang dibawa naik dari pesisir pantai kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dengan penemuan mayat mangsa terakhir itu, operasi SAR tamat pada 1.20 tengah hari,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang semalam, Fitrah Dhia Zahraa’ Zaidi, 9, dan jirannya, Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13, yang juga kakak kepada Fazrul ditemui lemas selepas mereka ke pantai yang terletak kurang 200m dari rumah bersama keluarga.

Fitrah Dhia Zulaikha, 13, yang merupakan kakak kepada Fitrah Dhia Zahraa’ hampir lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya, tetapi berjaya diselamatkan orang awam.

Sementara itu, Mohd Zaidi Jusoh, 38, yang menemui mayat mangsa terakhir itu berkata, beliau yang baru pulang daripada bertugas di Gebeng melalui jalan itu kerana mengetahui terdapat mangsa lemas di kawasan pantai itu.

“Ketika lalu, saya nampak benda hitam seperti kepala dan sejurus mendekati objek tersebut, saya dapati ia adalah mangsa yang berada dalam keadaan meniarap.

“Kanak-kanak itu seolah-olah dibawa naik ke pesisir pantai dengan pukulan ombak…saya menghubungi kawan untuk memaklumkan perkara itu, sebelum pasukan keselamatan tiba,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.