
Ini susulan laporan bahawa Noor Hisham berkata, sekatan perjalanan rentas daerah dan negeri akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya 70% penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Pusat Pendidikan Pasaran berkata, pendekatan sebelah pihak dalam pembuatan keputusan kerajaan akan menghasilkan kesan yang sumbang dengan menyebut bahawa industri penerbangan dan hospitaliti tidak mampu bertahan sekiranya sektor berkenaan terus ditutup selama enam bulan lagi.
Ketua pegawai eksekutifnya Carmelo Ferlito berkata, perlu wujud panel daripada pelbagai bidang, sementara kuasa pembuatan keputusan akhir harus terletak di tangan pemimpin yang dipilih.

“Ini akan menawarkan pilihan dasar lebih luas, tanpa menafikan sains. Mereka akan tetap mengikut nasihat saintifik.
“Pendekatan ini juga akan menyediakan akauntibiliti dan ketelusan lebih tinggi jika orang ramai dibenarkan menyemak pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh banyak pakar yang berbeza pandangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ferlito juga mengalu-alukan kenyataan Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Parlimen bersidang semula dalam tempoh darurat dengan berkata, ia penting untuk tujuan semak dan imbang dan dasar kerajaan tidak “dimonopoli” oleh pakar bidang tertentu.
“Pembuatan keputusan adalah satu seni, dan perlu wujud keseimbangan antara pelbagai tekanan berdasarkan analisis baik-buruk yang rumit yang bertujuan memeriksa kesan diluar jangka setiap keputusan.”
“Justeru ia perlu dipimpin oleh ahli politik yang bertanggungjawab kepada orang ramai, selain berperanan mengurus keruwetan itu sebagai sebahagian daripada tugas mereka.”