
Ia menggesa badan eksekutif menggunakan kuasanya bawah darurat untuk lebih menyokong sektor perniagaan bagi membantu mereka bertahan dan mengembalikan keyakinan pelabur.
FMM menyuarakan kebimbangan terhadap pengumuman Kementerian Sumber Manusia Khamis lalu, berhubung undang-undang melibatkan penginapan pekerja asing yang mewajibkan majikan memindahkan pekerja ke penempatan sementara dan menanggung semua kos berkaitan.
“Industri ini risau bagaimana kuasa mengikut Ordinan Darurat digunakan secara tidak wajar untuk memaksa perubahan selain mengenakan hukuman berat bagi memastikan pematuhan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990).”
Katanya, undang-undang baharu itu akan melibatkan perbelanjaan RM270 bagi setiap pekerja, selain denda kerana gagal mematuhinya ditambah kepada RM200,000 atau hukuman penjara atau kedua-duanya.
“Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja amat maklum mengenai cabaran kritikal dihadapi yang di luar kawalan dan kemampuan industri ini untuk menyelesaikannya.
“Masalah kekurangan tempat penginapan yang kritikal, selain kekurangan kerjasama serta koordinasi pihak berkepentingan dalam keseluruhan proses ini adalah sesuatu yang berterusan, terutama melibatkan pihak berkuasa tempatan.”
FMM juga berkata, perancangan Kementerian Sumber Manusia untuk mempertanggungjawabkan penguatkuasaan Akta 446 kepada kementerian lain berkemungkinan mengakibatkan pelaksanaan secara “keterlaluan” disebabkan kekurangan kefahaman atau salah tafsiran undang-undang terbabit.
“Susulan itu, FMM menggesa kerajaan menggunakan Ordinan Darurat sewajarnya untuk memudahkan hal ehwal kesihatan awam dan operasi perniagaan, dengan mengambil kira kesusahan yang terus-menerus dihadapi industri dalam menghadapi pandemik.
“Kami juga meminta usaha penguatkuasaan oleh kementerian dan agensi dipertanggungjawabkan berbuat demikian, diperkemas mengikut garis panduan standard serta kehendak undang-undang,” katanya.