1,000 halaman dokumen perlu diteliti, perbicaraan Guan Eng, dua yang lain, ditangguh

1,000 halaman dokumen perlu diteliti, perbicaraan Guan Eng, dua yang lain, ditangguh

Ini merupakan penangguhan ketiga sejak Okt lepas.

Lim Guan Eng, isteri beliau Betty Chew dan seorang ahli perniagaan Phang Li Kon didakwa terlibat rasuah berkait projek pembinaan asrama pekerja asing.
BUTTERWORTH:
Perbicaraan kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isteri beliau dan seorang ahli perniagaan ditangguhkan selama tiga bulan lagi bagi membenarkan peguam pembelaan meneliti “1,000 halaman” dokumen daripada pendakwaan.

Ini merupakan penangguhan ketiga sejak Okt lepas.

Lim, isteri beliau Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Khon memohon dibicarakan di Mahkamah Sessyen enam bulan lepas dan diberikan lanjutan oleh mahkamah sebanyak dua kali, selama empat bulan.

Lanjutan yang diberikan oleh mahkamah pada Okt dan Dis bertujuan membenarkan pendakwaan memfailkan lima lagi dokumen, selain mencetak semua dokumen yang dikemukakan setakat ini seperti diminta oleh pihak pembelaan.

Dokumen berkenaan sebelum ini diberikan kepada pembelaan dalam bentuk cakera padat.

Mahkamah hari ini memberi lanjutan tempoh tiga bulan selepas peguam yang mewakili Lim dan isteri, RSN Rayer berkata, dokumen “1,000 halaman” itu diserahkan kepada pasukan pembelaan pada 16 Feb.

Rayer berkata, lebih banyak masa diperlukan untuk meneliti 1,000 halaman dokumen daripada pihak pendakwaan itu.

Beliau berkata, “cabaran keperlembagaan” dan permohonan interlokutori mungkin dibuat dalam masa terdekt.

Permohonan itu juga disokong oleh peguam Phang, Ruebankumar Asokan.

Timbalan pendakwa raya Shafiq Hasim tidak membantah permohonan tersebut.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membenarkan permohonan dan menetapkan 28 Mei untuk pengurusan kes.

Pada 11 Ogos, mereka bertiga didakwa menerima suapan berhubung projek pembinaan asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta di Pulau Pinang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkait perolehan tidak sah berjumlah RM372,000 yang diterima dalam akaun bank Chew bagi memastikan projek asrama itu diberikan kepada syarikat Phang.

Mereka didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Lim didakwa menyalahgunakan kuasa sewaktu beliau merupakan ketua menteri Pulau Pinang pada waktu itu antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.