
Beliau mengulas laporan sebuah portal baru-baru ini yang memetiknya sebagai berkata dalam sesi Clubhouse bahawa “golongan belia belum bersedia untuk mengundi” dan komen yang mengandaikan beliau “membayangkan bahawa anak muda Malaysia belum bersedia untuk menggunakan hak mengundi dan beberapa bentuk pendidikan politik perlu diinstitusikan terlebih dahulu”.
“Di sini, saya ingin menjelaskan bahawa apa yang saya maksudkan bukanlah seperti itu. Namun, saya memang menyuarakan kebimbangan dan kepercayaan tegas saya bahawa dengan adanya hak mengundi, ada juga tanggungjawab yang perlu dilunaskan sebagai rakyat,” katanya di Facebook.
Menurut Wan Fayhsal, beliau pernah menyuarakan perkara sama dalam sebuah artikel di surat khabar tempatan yang bertajuk “Undi 18 terajui perubahan politik negara” pada 2019.
“Dalam artikel sama, saya menekankan tentang peri perlunya pendidikan pengundi agar mereka mampu membuat keputusan yang adil dalam apa juga keadaan.
“Apa yang saya katakan di Clubhouse dua hari lepas tidaklah berbeza daripada apa yang telah (saya) nukilkan hampir dua tahun lalu,” kata beliau.
Beliau juga menekankan kepentingan pendidikan politik dan peranan media dalam menyampaikan laporan yang benar dan adil kepada masyarakat awam.
“Sesebuah demokrasi hanya boleh terus berdiri jika rakyatnya membuat keputusan yang tepat berdasarkan maklumat yang sahih, bukannya spekulasi dan ekstrapolasi,” katanya.
Beliau juga menegaskan sokongan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada langkah untuk menurunkan usia layak mengundi kepada 18 tahun.
“Pendirian ini tidak pernah berubah sejak dua tahun lalu, dan saya berharap agar perkara ini dilaporkan secara adil dan tanpa sebarang keraguan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menyeru kerajaan “mengambil tindakan yang wajar” dan membenarkan usia layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun.
Presiden Dewan Negara Rais Yatim juga baru-baru ini mendakwa, keputusan untuk menurunkan usia layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dibuat secara tergesa-gesa oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Pada 2019, Parlimen bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya. Undang-undang itu diwartakan secara rasmi pada September 2019.
November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memaklumkan Dewan Rakyat pelaksanaan usia layak mengundi baharu dan pendaftaran pengundi automatik dijangka bermula selewat-lewatnya Julai.