Igauan 2 beranak tinggal di pondok usang dalam hutan berakhir, kini miliki rumah selesa

Igauan 2 beranak tinggal di pondok usang dalam hutan berakhir, kini miliki rumah selesa

Valarmathy Krishnamoorthy, 54, bersama anaknya yang kurang upaya, Titi Kumaran Muniandy sebelum ini tinggal di pondok usang dalam hutan sejak tiga tahun lalu.

Valarmathy dan anaknya di luar pondok sementara mereka. Mereka mula mendiaminya sejak tiga tahun lalu.
PETALING JAYA:
Tersembunyi dari pandangan di sebalik tumbuhan dan pokok liar di kawasan berhutan kecil, siapa sangka ada sebuah “rumah” kira-kira 100m dari jalan utama bandar Putra Perdana.

Berdekatan pondok kecil itu, terdapat tali yang diguna untuk menjemur pakaian dan timbunan tayar terpakai, yang menunjukkan ada penghuni berteduh di situ.

Struktur kasar, dibuat daripada kayu, atap zink, dan kain kanvas, tidak ubah seperti rumah anjing, hanya berukuran sekitar 1.8m x 2.5m.

Binaan pondok yang dibuat sedikit tinggi dari tanah itu dilengkapi dengan sebuah pintu, namun saiz ruang itu dilihat mustahil untuk penghuninya bergerak dan cukup sekadar untuk duduk atau berbaring.

Pondok yang didiami dua beranak itu tersembunyi di belakang hutan. Rumah mereka hampir tidak dapat dilihat dari jalan yang jaraknya 100m.

Begitulah keadaan daif terpaksa dihadapi Valarmathy Krishnamoorthy, 54, bersama anaknya yang kurang upaya, Titi Kumaran Muniandy sejak tiga tahun lalu.

Meskipun tidak tercapai dek akal untuk seseorang betul-betul tinggal dalam struktur yang begitu sempit itu, Valarmathy berkata dia dan anaknya terpaksa tinggal di situ kerana tiada pilihan lain.

Pondok kecil yang tidak ubah seperti saiz rumah anjing, menjadi tempat berteduh dari hujan dan panas selain menjadi bilik tidur buat mereka sekeluarga.

Suaminya mengabaikan mereka sekitar 12 tahun lalu dan pergi tanpa meninggalkan sebarang wang dan tempat tinggal, dan dua sekeluarga itu berpindah ke sebuah rumah terbengkalai di Ayer Hitam, Puchong.

Namun, lebih malang apabila rumah itu terbakar tiga tahun lalu dan pasangan ibu dan anak itu, segera melarikan diri dari kawasan terbabit kerana bimbang dituduh menjadi punca kepada kebakaran itu.

Mereka akhirnya sampai di kawasan berhutan yang jauh dari pandangan orang, di mana mereka memutuskan untuk membina rumah di sebalik pokok dengan mendirikan sebuah pondok kecil menggunakan apa saja yang mereka ada.

Keadaan pondok kecil, dengan tayar terpakai dan bekas telur kertas yang dibakar pasangan itu bagi menghalau nyamuk dan binatang buas lain.

Menurut Valarmathy, pondok itu sengaja dibina sedikit tinggi dari tanah kerana binatang berbiasa seperti ular boleh masuk. Dua beranak itu mandi di sebuah lombong berdekatan dan memasak menggunakan dapur kayu api yang dibuat menggunakan bata kecil.

Mereka juga memasang saluran paip di kediaman kecil itu untuk menadah air hujan yang akan digunakan untuk kerja mencuci.

“Sebenarnya kami bertiga,” kata Valarmathy. “Seorang warga asing perempuan dulu pernah tinggal bersama kami tetapi ada suatu hari dia curi periuk dan kuali kami dan larikan diri. Kami hilang barang yang itu sahaja kami ada”.

Pasangan itu ditemui baru-baru ini oleh pegawai pihak berkuasa tempatan dan beberapa NGO, termasuk pegawai kuil dan masjid.

Mereka bersama-sama berjaya mendapatkan sebuah unit rumah flat untuk dua beranak itu dan pekerjaan buat mereka – Valarmathy memulakan pekerjaannya hari ini sebagai tukang cuci di sebuah restoran sementara Kumaran akan menjadi pengawal keselamatan di tapak pembinaan berhampiran.

Valarmathy dan anaknya di rumah baru mereka tidak jauh dari pondok yang pernah didiami. Bersama mereka adalah exco kerajaan negeri Borhan Aman Shah.

Kedua-duanya juga akan diletakkan bawah program bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bersama dengan gaji baru mereka, yang membolehkan mereka cukup untuk meneruskan kehidupan selepas ditolak bayaran sewa flat itu sebanyak RM500.

Semalam, pegawai exco negeri Borhan Aman Shah menyerahkan kunci unit flat itu kepada Valarmathy, bersama dengan dapur, bakul makanan dan barangan isi rumah yang lain.

Beliau juga menjanjikan untuk memberi kad “Peduli Sihat” kepada mereka berdua yang boleh digunakan untuk menerima rawatan perubatan secara percuma. Kumaran juga diberi sebuah basikal sebagai pengangkutan ke tempat kerja barunya.

Valarmathy berkata dia bersyukur atas bantuan diberikan dan berjanji akan bekerja keras supaya dia dan anaknya dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Apa yang patut dipuji, di sebalik kesusahannya, dia tidak pernah mengemis.

“Saya akan buat kerja rencam dekat mana saja yang saya boleh, seperti bawa barang untuk orang yang berpindah rumah, mencuci dan mengecat. Kami berdua bekerja dan orang akan membayar kami RM15-RM20 dan kami akan menggunakan wang itu untuk membeli makanan,” katanya.

Perintah kawalan pergerakan (PKP), bagaimanapun, membuatkan mereka hilang pekerjaan meskipun kerja rencam sehinggakan kedua-duanya tidak mempunyai wang dan kebuluran.

Sebagai ikhtiar terakhir, dia hanya mampu meminta pertolongan dari sebuah masjid di seberang jalan, meminta makanan. Ketika orang awam mula mengetahui keadaan mereka itu, mereka berusaha untuk membantu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Sepang Saiful Akramin Abdullah berkata, Valarmathy sebenarnya sudah menerima bantuan kebajikan beberapa tahun lalu selepas ditinggalkan suaminya tetapi jabatan itu kehilangan jejaknya apabila dia melarikan diri selepas kes kebakaran itu.

“Kami akan mengembalikan bantuan kebajikannya dan membantu anaknya untuk mendapatkan bantuan kebajikan juga kerana dia merupakan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.