Konsulat China nafi keluar ‘amaran’ berhubung isu bekalan air Sabah

Konsulat China nafi keluar ‘amaran’ berhubung isu bekalan air Sabah

Konsulat Jeneral China di KK seru media lapor berdasarkan fakta sahih, elak penyebaran maklumat tidak sah.

The Chinese consulate-general
Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu berkata, kedutaan mahupun konsulat tidak pernah keluar sebarang ‘amaran’ atau ‘ancaman’ kepada kerajaan Sabah, DBKK atau mana-mana pihak berkuasa tempatan berhubung isu bekalan air di Sabah. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya Kedutaan China di Malaysia mengeluarkan ‘amaran keras’ kepada kerajaan Sabah berhubung isu bekalan air.

Konsulat Jeneral menegaskan, kedutaan mahupun konsulat tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘amaran’ atau ‘ancaman’ kepada kerajaan Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atau mana-mana pihak berkuasa tempatan berhubung isu itu.

“Dakwaan tersebut adalah palsu. Kami juga tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘nasihat perjalanan’,” menurut Konsulat Jeneral dalam kenyataan.

Konsulat Jeneral menegaskan, pihaknya terus menjunjung semangat persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan antara China dan Malaysia, termasuk memperluas kerjasama praktikal antara China dan Sabah dalam bidang pelancongan, perdagangan serta kebudayaan.

Pihaknya juga akan terus mempromosikan pertukaran rakyat dengan rakyat serta memperkukuh kerjasama peringkat tempatan antara kedua-dua negara, katanya.

Pada masa sama, Konsulat Jeneral menyeru media supaya melaporkan berdasarkan fakta sahih serta mengelak penyebaran maklumat tidak disahkan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan hubungan persahabatan antara China dan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.