Pemandu cuba rempuh SJR, hampir langgar polis ditahan

Pemandu cuba rempuh SJR, hampir langgar polis ditahan

Lelaki bawah pengaruh dadah itu memecut ke arah khemah SJR dan hampir merempuh seorang anggota polis.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata ujian saringan air kencing suspek didapati positif syabu dan direman tujuh hari bermula hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cubaan seorang pemandu bawah pengaruh dadah melarikan diri daripada pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Desa Jaya, gagal selepas keretanya merempuh tembok penghadang jalan sebelum ditahan anggota polis, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.45 tengah malam, suspek lelaki tempatan berusia 45 tahun diarah anggota bertugas di SJR supaya menghentikan kenderaan di tepi jalan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata suspek sebaliknya memecut kenderaannya sebelum anggota polis bertindak mengejarnya sehingga ke kawasan perumahan Perdana Puri iaitu jarak kira-kira 300m dari lokasi SJR.

“Suspek, bagaimanapun, berpatah balik dan memecut ke arah khemah SJR dan hampir merempuh seorang anggota polis yang bertugas di lokasi itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek kemudian memberhentikan keretanya secara mengejut sebelum mengundur dalam keadaan laju sehingga melanggar batu pembahagi jalan berhampiran khemah SJR.

Arifai berkata, akibat pelanggaran itu kenderaan suspek tidak boleh bergerak dan dia ditahan polis manakala semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 11 rekod jenayah berkaitan dadah dan satu rekod jenayah mencuri.

“Ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif syabu dan direman tujuh hari bermula hari ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.