MAQIS rampas daging kerbau RM4.28 juta guna logo halal tak diiktiraf

MAQIS rampas daging kerbau RM4.28 juta guna logo halal tak diiktiraf

Pihak berkuasa itu memeriksa 12 kontena dari India yang membawa 17,370 kotak daging sejuk beku dan mendapati ia menggunakan logo halal tidak diiktiraf.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata pihaknya memeriksa 12 kontena dari India yang membawa 17,370 kotak daging sejuk beku pada 5.30 petang dan mendapati ia menggunakan logo halal tidak diiktiraf. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 335,914kg daging kerbau sejuk beku bernilai RM4.28 juta kerana menggunakan logo halal tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia, di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), pada Isnin dan Selasa lepas.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata pihaknya memeriksa 12 kontena dari India yang membawa 17,370 kotak daging sejuk beku pada 5.30 petang dan mendapati ia menggunakan logo halal tidak diiktiraf.

“Pemeriksaan MAQIS mendapati keseluruhan dagangan tersebut menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia dan kami merampasnya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana penggunaan logo yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Zarina berkata, MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.