Tarik balik kelonggaran perintah kuarantin 3 hari menteri, desak pembangkang

Tarik balik kelonggaran perintah kuarantin 3 hari menteri, desak pembangkang

Kerajaan turut didesak melaksanakan perintah kuarantin adil dan saksama mengikut data saintifik, bukan untuk memudahkan gaya hidup menteri.

Menurut kenyataan bersama itu, tiada konsistensi dalam keputusan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
PETALING JAYA:
Seramai 34 Ahli Parlimen pembangkang mendesak kerajaan menarik balik perintah kuarantin minimum tiga hari untuk menteri sebaik pulang dari luar negara.

Anggota PKR, DAP, Amanah, Warisan dan bebas itu turut membidas kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba yang didakwa tidak konsisten dan mengelirukan.

“Dr Adham tidak boleh mengeluarkan perintah yang memberi kelonggaran kepada menteri Kabinet dalam Warta Persekutuan, kemudian sesuka hati berkata kelonggaran kuarantin tiga hari tersebut hanya diberi kepada menteri yang benar-benar mengikut “gelembung program perjalanan” (itinerary bubble).

“Ini bermaksud wujudnya kuarantin ‘dwistandard’ dalam kalangan menteri yang membuat lawatan rasmi ke luar negara.

Adham berkata kuarantin tiga hari itu juga akan dibuka kepada orang ramai kerana kerajaan ingin membuka ekonomi.

“Tiada konsistensi dalam keputusan beliau, malah menimbulkan kekeliruan kepada negara,” kata kenyataan bersama itu.

Kerajaan turut didesak melaksanakan perintah kuarantin yang adil dan saksama mengikut data saintifik dan bukan untuk memudahkan gaya hidup menteri kerana wabak Covid-19 tidak mengenali pangkat dan kedudukan.

Pihaknya juga menuntut menteri kesihatan menjelaskan apakah rasional dan kriteria sebenar untuk rakyat dan menteri, yang pulang dari luar negara berhubung isu kuarantin serta kawalan Covid-19.

Dokumen pewartaan yang dikeluarkan menteri kesihatan dan disiarkan dalam portal rasmi e-warta Persekutuan itu menyatakan pengecualian kepada jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi ke luar negara.

Mereka perlu menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang lain.

Ia selaras dengan kuasa (Akta 342) Seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, menteri yang ke luar negara untuk lawatan rasmi perlu mematuhi syarat-syarat ketat dengan membuat permohonan kepada Kabinet dan KKM terlebih dahulu sebelum dibenarkan menjalani kuarantin minimum tiga hari sebaik pulang ke tanah air.

Antara syarat penilaian termasuklah perlu menggunakan pesawat persendirian dan bukan komersial, membawa doktor peribadi, menyerahkan jadual lawatan termasuk tahap pematuhan SOP ketat sebelum berlepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.