Kerajaan bincang peruntukan Ahli Parlimen pembangkang Rabu depan

Kerajaan bincang peruntukan Ahli Parlimen pembangkang Rabu depan

Fadillah Yusof berkata, Hamzah Zainudin memaklumkan terpulang kepada kerajaan memutuskan syarat untuk peruntukan buat Ahli Parlimen pembangkang.

(Dari kiri) Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan dalam perjumpaan 19 Mac lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat Rabu depan bagi membincangkan isu peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Katanya, mesyuarat itu menyusul perjumpaan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) pada 19 Mac lalu yang disertai Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee.

“Saya tanya apa kemahuan mereka? Beliau (Hamzah) kata mereka mahu peruntukan dan apa saja syaratnya terserah kepada kerajaan.

“Saya maklumkan kepada mereka, perkara itu akan dibawa ke perbincangan di peringkat Majlis Perpaduan Kerajaan Madani (Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan) untuk mengemukakan apa yang dihasratkan mereka,” katanya menurut Harian Metro pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Petra Jaya di Kuching.

Beliau berkata, pihaknya hanya akan membuat keputusan, antaranya jumlah peruntukan yang akan disalurkan kepada pembangkang, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan nanti.

Selepas perjumpaan dengan tiga pemimpin PN itu, Fadillah berkata, beliau agak terkejut dengan beberapa kenyataan Ahli Parlimen pembangkang mendakwa sebelum ini ada perjanjian dikemukakan wakil Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Tetapi, saya sendiri pun tidak tahu (mengenai perjanjian dikemukakan wakil perdana menteri) dan saya mendapatkan pengesahan daripada perdana menteri dan beliau juga kata tidak ada.

“Jika itulah apa yang mereka kata, berbincanglah dengan wakil perdana menteri itu (seperti didakwa), tak perlulah bincang dengan saya lagi,” katanya sambil menambah beliau tidak tahu siapa wakil perdana menteri didakwa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.