Segerakan peruntukan pembangkang bukti hargai pilihan rakyat, kata PAS

Segerakan peruntukan pembangkang bukti hargai pilihan rakyat, kata PAS

Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan bermesyuarat Rabu depan bagi membincangkan isu peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berharap peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang dapat direalisasikan dan disalurkan segera.
PETALING JAYA:
PAS berkata, jika peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang dapat direalisasikan dalam masa terdekat, ia membuktikan kerajaan menghargai pilihan rakyat.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia juga akan mencerminkan apa yang dijanjikan melalui perjuangan reformasi.

“⁠Ia sebahagian daripada perjuangan reformasi diwar-warkan sebelum ini, ia akan mencerminkan pelaksanaan apa yang dijanjikan sebelum ini sekali gus menyuburkan demokrasi.

“Kita juga berupaya menjadi pembangkang konstruktif dalam sistem Parlimen. Pembangkang adalah pilihan rakyat dan kerajaan seharusnya menghargai pilihan rakyat dengan menyalurkan peruntukan bagi setiap wakil rakyat.

“Dengan itu, wakil rakyat dapat melaksanakan fungsinya sebagai semak dan imbang dan kerana itu semua peruntukan dalam belanjawan dibahas dan disokong sehingga ia membuktikan kejayaan sebagai pembangkang dalam Parlimen,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat Rabu depan bagi membincangkan isu peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, mesyuarat itu susulan perjumpaan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) pada 19 Mac lalu yang disertai Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin bersama Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee bagi membincangkan isu peruntukan wakil rakyat.

Tuan Ibrahim berharap peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang dapat direalisasi dan disalurkan segera susulan rundingan pada bulan lalu.

“Apa yang diminta oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya diadakan mesyuarat dan perundingan sudah dilakukan.

“⁠Kita mengharapkan dengan perundingan yang diadakan akan menghasilkan kejayaan dan peruntukan akan disalurkan,” katanya yang turut menggesa kerajaan negeri lain mengikut jejak langkah kerajaan Kelantan dan Perak menyalurkan peruntukan kepada semua Adun secara sama rata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.