
Bekas timbalan ketua setiausaha Kabinet Mazidah Abdul Majid berkata kenyataan itu dibuat Najib dan direkodkan dalam minit mesyuarat Kabinet pada 8 Sept 2010.
“Perdana menteri berkata beliau mengadakan pertemuan tidak rasmi ketika itu bersama beberapa pihak di negara Asia Tengah, yang telah memberikan maklum balas positif berhubung isu yang berkaitan kepentingan Malaysia.
“Perdana menteri turut memaklumkan, putera mahkota Arab Saudi, Putera Saud Abdulaziz Al-Saud, bersetuju menyumbang kepada Yayasan 1MDB daripada yayasan kebajikan baginda.
“Baginda meminta sumbangan itu dirahsiakan,” katanya.
Mazidah berkata, Najib memaklumkan Kabinet bahawa dengan sumbangan dari Asia Tengah itu, Yayasan 1MDB boleh melaksanakan lebih banyak aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mereka yang memerlukan.
“Menteri Kabinet kemudian memberikan pandangan mereka mengenai jenis aktiviti CSR yang boleh dilakukan 1MDB,” katanya.
Saksi itu turut memberitahu mahkamah, Najib memaklumkan Kabinet mereka perlu lebih “kreatif” untuk mendapat sumber pembiayaan lain yang bukan daripada kerajaan.
“Susulan itu anggota Kabinet bersetuju dengan cadangan perdana menteri supaya ‘sumbangan’ itu dirahsiakan,” kata Mazidah.
Sebelum ini, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah, beliau menerima empat cek berjumlah USD100 juta pada September 2010, dikeluarkan untuk Yayasan 1MDB.
Beliau menambah, cek berkenaan diserahkan kepadanya oleh Low Taek Jho dan diarahkan tidak melakukan apa-apa dengan empat cek itu.
Shahrol berkata, sebelum meninggalkan 1MDB pada Mac 2013, beliau menyerahkan empat cek itu kepada jabatan kewangan syarikat berkenaan untuk disimpan.
Perbicaraan bersambung di depan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.
Najib dibicarakan bagi 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun banknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.