
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Akram Gharib berhujah naratif Najib harus ditolak sepenuhnya, kerana bukti menunjukkan beliau bukan seseorang yang dianiaya orang lain, sebaliknya menggunakan orang lain untuk melaksanakan arahannya.
“Dia kini berusaha melepaskan diri daripada akibat perancangannya sendiri. Tertuduh bukanlah mangsa. Dia dalang,” katanya dalam hujahan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Akram berkata Najib pembuat keputusan yang paling berkuasa, kerana beliau memegang jawatan perdana menteri dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
“Cadangan beliau bahawa orang lain bertindak atas kemahuan mereka adalah mustahil dari segi fakta dan bercanggah dengan keterangan yang amat banyak,” katanya.
Akram berkata Najib menyalahkan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Hazem Abdul Rahman; penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo; Ketua Pegawai Kewangan 1MDB ketika itu, Azmi Tahir; dan bekas pegawai khasnya sendiri, Amhari Effendi Nazaruddin, atas kesengsaraan yang dialami kini.
Namun keterangan mendedahkan setiap individu tersebut bertindak atas arahannya atau dengan kebenarannya.
“Mereka orang bawahan beliau, terikat untuk bertindak atas arahan perdana menteri, disampaikan sama ada secara langsung atau melalui perantaranya, Low Taek Jho.”
Akram berkata saksi-saksi pendakwaan dari AmBank dan Bank Negara menunjukkan sejumlah besar wang memasuki akaun peribadi Najib.
Wang itu berasal dari syarikat-syarikat yang merupakan wadah yang dikawal oleh Low — dan bukan keluarga diraja Arab Saudi seperti yang didakwa Najib, tambahnya.
DPP Mustaffa P Kunyalam berhujah Najib mengendalikan 1MDB “seperti kedai kopi”, menyebabkan hal ehwal syarikat itu kucar-kacir sebagaimana yang diharapkan oleh tertuduh.
“Jika tadbir urus amat penting, pemergian Bakke Salleh, pengerusi 1MDB yang pertama, pada Oktober 2009, sepatutnya menjadi amaran untuk membetulkan kucar-kacir dalam syarikat itu,” katanya.
Ini berlaku selepas USD700 juta disalurkan kepada Goodstar Ltd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan rakan Low, dan bukannya syarikat usaha sama yang sepatutnya.
Mustaffa berkata ahli perniagaan, Tong Kooi Ong, bertemu Najib di kediaman bekas perdana menteri itu pada Mac 2015 dan memberi amaran tentang penipuan Low, tetapi diminta keluar.
“Jadi, bolehkah tertuduh kini mendakwa beliau juga ditipu oleh Low? Jawapannya tidak,” katanya.
Mustaffa juga menggesa keterangan oleh Low, mendiang Azlin Alias (setiausaha sulit Najib), Terence Geh (bekas timbalan ketua pegawai kewangan 1MDB) dan Nik Faisal Ariff Kamil (pemegang mandat untuk akaun bank Najib di AmBank) diterima, bawah pengecualian kepada kaedah dengar cakap seperti yang diperuntukkan dalam Akta Keterangan.
“Low, Azlin, Geh dan Nik Faisal telah menyampaikan arahan Najib mengenai 1MDB kepada saksi-saksi pendakwaan,” katanya.
Akram berkata, walaupun mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan Mustaffa, kenyataan tersebut tetap boleh diterima di bawah kaedah ‘Subramaniam’.
Majlis Privi (Privy Council) pada 1956 memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh seseorang yang telah meninggal dunia atau tidak dapat dikesan boleh diterima, jika tujuan ia diperkenalkan adalah untuk membuktikan ia dibuat, dan saksi yang mendengarnya telah bertindak atas kenyataan itu.
DPP Kamal Baharin Omar berhujah Najib juga bersalah atas kesalahan pengubahan wang haram kerana beliau terlibat dalam tindakan menerima, menggunakan dan memindahkan ‘harta’ daripada hasil haram.
“Hujah ‘derma Arab’ adalah rekaan, bercanggah dengan rekod kewangan dan tidak disokong oleh bukti bebas,” tambahnya.
Najib, 72, sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana berjumlah RM2.28 bilion, yang didepositkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan Sequerah ditangguhkan ke esok.