Dakwaan salah guna kuasa jelas, Najib perlu jawab, kata pendakwa

Dakwaan salah guna kuasa jelas, Najib perlu jawab, kata pendakwa

Pendakwaan berkata Najib Razak sepatutnya disabitkan dalam empat pertuduhan 1MDB kerana pembelaannya hanya sekadar penafian tanpa bukti kukuh.

najib razak
Najib Razak didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana didakwa menyalahgunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Tinggi diberitahu empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan 1MDB adalah jelas dan sudah memadai untuk beliau membela diri.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pertuduhan itu menyatakan Najib, sebagai pegawai badan awam, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan manfaat peribadi.

Katanya, kes itu bukan mengenai penerimaan rasuah seperti kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM, sebaliknya penyalahgunaan kuasa yang membawa kepada manfaat kepada dirinya.

Menurut Akram, tarikh dan lokasi dalam pertuduhan adalah konsisten dan memenuhi syarat di bawah Kanun Prosedur Jenayah bagi memastikan Najib diberi makluman yang adil mengenai kes dihadapinya.

Peguam Najib sebelum ini berhujah pertuduhan itu kabur, mengelirukan dan mempunyai kecacatan teknikal.

Namun Akram berkata, sebarang kelemahan teknikal – jika wujud sekalipun – boleh diperbetulkan mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau menegaskan perbicaraan berjalan dengan teratur dan adil, malah pasukan pembelaan tidak menghadapi sebarang halangan untuk menyoal balas 50 saksi pendakwaan.

Malah turut memanggil 26 saksi sendiri selepas mahkamah memerintahkan Najib membela diri.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mempengaruhi keputusan dalam 1MDB sehingga membawa kepada wang masuk ke akaun peribadinya.

Akram berkata, pendakwaan telah membuktikan wang berjumlah besar yang masuk ke akaun Najib berpunca daripada keputusan-keputusan dalam 1MDB yang beliau sendiri arahkan atau pengaruhi.

Beliau berkata, Najib hanya memberikan penjelasan bahawa beliau percaya wang itu adalah sumbangan atau “derma” – tetapi tidak mengemukakan bukti kukuh.

Katanya lagi, pembelaan Najib tidak lebih daripada penafian biasa tanpa sokongan dokumen atau saksi yang boleh dipercayai.

Malah, corak transaksi wang menunjukkan ia bergerak seiring dengan urus niaga 1MDB.

Akram berkata, tiada usaha sewajarnya dibuat Najib untuk menyemak sumber dana meskipun jumlah yang diterimanya sangat besar, dan dakwaan mengenai ‘derma Arab’ juga tidak disokong bukti – malah pernah ditolak dalam kes SRC sebelum ini.

Najib, 72, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.