Tekanan rakan sebaya jadikan pemakaian tudung di sekolah satu norma

Tekanan rakan sebaya jadikan pemakaian tudung di sekolah satu norma

Kementerian Pendidikan menggariskan satu dasar jelas mengenai tiada paksaan dalam pemakaian tudung di sekolah sejak 1992.

Menjadi perkara biasa untuk melihat pelajar sekolah beragama Islam bertudung. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hampir tiga dekad, pelajar perempuan di negara ini tidak diwajibkan mengenakan tudung ketika berada di sekolah.

Perkara itu dinyatakan dengan jelas oleh Kementerian Pendidikan (KPM), tiada paksaan dalam dasar negara yang mewajibkannya.

Namun, realitinya tidak sebegitu. Kebanyakan pelajar beragama Islam memilih untuk bertudung ketika menghadiri sesi persekolahan. Tekanan sekeliling dan norma sosial yang baharu dilihat sebagai antara faktor menyebabkan mereka bertindak demikian.

Minggu lalu, isu sama mendapat perhatian di Indonesia, apabila sebuah sekolah di Padang, mewajibkan pemakaian tudung di sekolah termasuk bagi pelajar perempuan bukan Islam. Menurut The Jakarta Post kerajaan Republik itu bagaimanapun melarang arahan itu dilaksanakan.

Norhayati Kaprawi.

Sutradara Norhayati Kaprawi, pernah menzahirkan situasi “paksaan” ini dalam satu dokumentarinya pada 2011 yang berjudul “Aku Siapa”. Mengenang pengalamannya menyiapkan dokumentari itu, beliau menjelaskan kepada FMT bagaimana respondennya diganggu dan dipaksa untuk bertudung. Ada juga yang dihina seandainya gagal berbuat demikian.

“Ini juga berlaku di sekolah,” kata Norhayati.

“Masalahnya dengan KPM ini adalah walaupun mereka tidak memaksa pemakaian tudung , mereka juga tidak mengenakan apa-apa tindakan apabila ada sekolah yang membuat undang-undang sendiri. Tiada tindakan diambil melainkan ada aduan dari ibu bapa.”

Pendirian konsisten

Dalam surat pekeliling daripada ketua pengarah pendidikan Asiah Abu Samah kepada Jabatan Pendidikan negeri bertarikh 14 Mac 1992, pendidik veteran itu menegaskan kementerian melarang dengan sekeras-kerasnya paksaan atau tekanan kepada pelajar perempuan untuk mengenakan tudung di sekolah.

Kira-kira 20 tahun selepas itu, timbalan menteri pendidikan Puad Zarkashi pada 2012 mengingatkan pengetua bahawa mereka hanya boleh menggalakkan pelajar perempuan mengenakan tudung di sekolah.

Dalam satu wawancara bersama akhbar The Star beliau berkata, pelajar perempuan bukan Islam tidak boleh dipaksa mengenakan tudung.

“Perkara ini tidak seharusnya menjadi isu,” kata beliau.

Tunku Munawirah Putra

Setiausaha Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra bagaimanapun memberitahu FMT, segelintir pelajar perempuan dimalukan dan dikenakan tekanan oleh rakan sekelas mahupun guru kerana tidak mengenakan tudung di sekolah. Disebabkan hal ini, ada yang memutuskan untuk bertukar ke sekolah lain.

“Ini bukan lagi soal undang-undang Malaysia. Apa lebih penting sekarang ialah menghentikan ejekan dan seksaan mental sebegini terhadap mereka yang menjadi sasaran.

“Ada seorang rakan saya, anaknya enggan bergaul dengan rakan sekolah. Beliau menjadi sasaran oleh guru. Sukar untuk menentang hal sebegini dan lebih mudah untuk tinggalkan sahaja (sekolah)”, kata beliau.

Beliau berkata, anak rakannya itu yang merupakan pelajar sekolah menengah kerajaan pada 2017, tidak dibenarkan masuk ke kelas bagi mengikuti pelajaran oleh seorang guru semata mata kerana tidak bertudung.

Sejak kejadian itu, mereka sekeluarga memutuskan untuk berpindah ke Kanada.

Madeline Berma.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Madeline Berma menyedari isu itu yang memang sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelajar sekolah kerajaan. Tekanan sekeliling dan juga jangkaan sosial sudah sebati dalam diri mereka dan ia berterusan sehingga ke universiti awam.

“Jika disemak, tidak ada undang-undang yang mewajibkan pelajar Islam untuk mengenakan tudung.

“Tapi di universiti awam, tekanan daripada pensyarah dan juga rakan sekeliling berlaku. Saya pernah lihat mereka ini dipaksa untuk bertudung,” kata Berma yang juga merupakan bekas pensyarah di sebuah universiti awam di negara ini.

Kebebasan hak asasi

Menteri Agama Indonesia Yaqut Cholil Qoumas menegaskan, bagaimana kebebasan hak asasi tidak boleh berkompromi dengan isu sedemikian.

Berdasarkan laporan Reuters, beliau berkata tidak ada sebab untuk melanggar hak dan kebebasan lain atas nama agama.

Norhayati, bagaimanapun sedar bagaimana kod berpakaian bagi seorang Muslim di Malaysia ketika ini dengan kewujudan kelompok konservatif yang melihat ia sebagai gambaran moral dan peribadi seseorang.

Kelompok ini yang mempunyai pemahaman tersendiri mengenai agama menimbulkan masalah kepada rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Beliau berkata, sebelum ini ada beberapa laporan menunjukkan keseriusan masalah ini apabila wanita bukan Islam ditegur dan dilarang memasuki bangunan kerajaan hanya kerana cara mereka berpakaian. Perkara sebegini tidak pernah menjadi masalah pada masa lalu.

Satu hal yang benar-benar menimbulkan kegelisahan beliau, apabila tahap keyakinan dan keimanan seseorang dipertikai seandainya mereka tidak mengenakan tudung di tempat awam.

“Mereka menjadikan perkara ini sebagai isu yang berkaitan dengan akidah seseorang,” katanya.

“Isu berkaitan rasuah atau salah guna kuasa ,dipandang mudah. Namun kalau mengenai pemakaian tudung, ia akan membawa kepada persoalan sama ada seseorang itu Muslim atau tidak”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.