Kebebasan kehakiman kunci pelaburan, kata ahli ekonomi

Kebebasan kehakiman kunci pelaburan, kata ahli ekonomi

Ahli akademik dari Universiti Tun Abdul Razak menyeru satu suruhanjaya siasatan diraja terhadap kebebasan dan integriti badan kehakiman.

Persoalan mengenai kebebasan kehakiman timbul susulan penerbitan buku bekas peguam negara Tommy Thomas.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menyokong seruan untuk menubuhkan satu suruhanjaya siasatan diraja mengenai kebebasan dan integriti badan kehakiman kerana ia mempunyai impak terhadap pelaburan dan ekonomi.

Ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak Barjoyai Bardai berkata, persekitaran politik dan perundangan adalah faktor penting untuk menarik pelaburan terutama dari luar negara.

Persoalan mengenai integriti dan kebebasan kehakiman di negara ini timbul berikutan pendedahan bekas peguam negara Tommy Thomas dalam bukunya. Pemuda Umno menyeru satu inkuiri dibuat terhadap buku itu dan mengenai kebebasan kehakiman.

Terdapat juga petisyen untuk sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan dikemukakan oleh hakim yang digantung, Hamid Sultan Abu Backer dua tahun lalu di mana beliau mendakwa terdapat salah laku oleh anggota badan kehakiman dalam tiga kes utama.

Barjoyai berkata, inkuiri mengenai isu terbabit akan membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International yang menyaksikan penurunan tahun lalu.

Ahli ekonomi dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Shankaran Nambiar berkata, kebebasan kehakiman penting bagi ekonomi kerana pelabur mahu memastikan pelaburan mereka selamat.

“Kalau berlaku perselisihan, mereka boleh meminta pandangan yang dipertimbangkan di mahkamah perundangan yang bebas, adil, dan tidak dicemari. Sekiranya peraturan undang-undang diragui, ia boleh menghampakan pelabur. Pelabur tidak mahu sistem perundangan di mana kepentingan politik campur tangan dengan proses kehakiman.”

Katanya, dari sudut ekonomi, sebuah negara yang sangat bergantung pada perdagangan dan pelaburan asing mesti memelihara kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.