Jho Low bos 1MDB, bukan saya, kata bekas CEO

Jho Low bos 1MDB, bukan saya, kata bekas CEO

Mohd Hazem Abdul Rahman berkata, beliau tidak mempunyai kawalan terhadap kewangan serta pelaburan 1MDB.

Bekas CEO 1MDB, Hazem Abdul Rahman berkata, walaupun dipanggil bos, Jho Low sebenarnya adalah ketua.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang sehingga hari ini gagal dikesan, yang sebenarnya mengetuai 1MDB, kata bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat Mohd Hazem Abdul Rahman.

Memberi keterangan dalam perbicaraan Najib Razak, Mohd Hazem berkata walaupun menjadi anggota pengurusan paling kanan, beliau tidak mempunyai kawalan terhadap kewangan serta pelaburan 1MDB.

“Itu bukan caranya di 1MDB,” katanya ketika disoal balas peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Hazem memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu, bagi 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun banknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Disoal sama ada beliau pernah “diancam” ahli perniagaan itu kerana mempertikaikan hal ehwal 1MDB, Hazren berkata Low tidak pernah membuat ugutan terhadapnya.

“Saya rasa itu caranya di 1MDB. Sama ada anda mematuhi arahan atau tidak. Sekiranya menolak, lebih baik meninggalkan syarikat,” katanya.

Hazem meninggalkan 1MDB pada Januari 2015 selepas menjadi CEO di situ selama kurang dua tahun.

Wan Aizuddin kemudian bertanya sama ada “pelik” apabila Low menggelarnya “bos” seperti dilihat dalam beberapa e-mel dihantar kepadanya.

“Kadangkala Jho Low menggelar saya sebegitu. Sama seperti di kedai mamak. Anda boleh memanggil sesiapa saja ‘bos’,” katanya seterusnya menolak yang beliau dianggap orang penting oleh Low.

Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.